PETALING JAYA: Kerajaan seharusnya mewajibkan suntikan vaksin dos penggalak Covid-19 hanya kepada kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan tidak memaksa semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak mengambilnya.
Bagi golongan yang berisiko rendah mereka patut dibenarkan menjalankan kehidupan seperti biasa tanpa dos penggalak dan mereka ini boleh mendapat imuniti secara semula jadi atau diberi pilihan sekiranya mahu mendapatkan vaksin itu secara sukarela.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pengamal perubatan yang juga penganalisis kesihatan awam, Dr. Amir Farid Isahak berkata, hal ini perlu kerana tahap keselamatan vaksin jenis Pfizer ada menunjukkan banyak kesan sampingan berbahaya termasuk kematian.
Namun katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) hanya memberi tumpuan menjelaskan aspek keberkesanan dos penggalak untuk mencegah Covid-19 berbanding memberi penjelasan telus dan menyeluruh terhadap aspek keselamatan dos berkenaan.
Merujuk pelbagai data berautoriti dan sahih dari luar negara terutamanya, jelas beliau, suntikan vaksin Pfizer terbukti ada kesan buruk terhadap keselamatan nyawa, terutama mendorong penyakit miokarditis, iaitu keradangan otot jantung yang kebiasaannya disebabkan oleh virus.
“Saya setuju keperluan dos penggalak. Tapi kita wajar bandingkan keberkesanan dos itu dengan kesan bahayanya. Jika tiada kesan sampingan yang membahayakan, maka tiada masalah kerajaan mahu wajibkan.
“Utusan Malaysia sendiri pernah laporkan pada 30 Jun tahun lalu, bahawa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) memantau perkembangan kesan sampingan suntikan vaksin jenis Pfizer.
“Ini kerana ia dikatakan mengundang risiko miokarditis dan perikarditis, sebab insiden miokarditis dan perikarditis dalam kalangan remaja lelaki agak tinggi selepas suntikan Pfizer,” katanya dalam wawancara bersama Mingguan.
Tambah beliau, di New Zealand pada 30 Ogos tahun lalu, BBC melaporkan ada kes kematian seorang wanita akibat miokarditis, dikaitkan dengan vaksin Pfizer.
Selain itu, katanya, menurut laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, sejak April 2021, berlaku peningkatan kes miokarditis dan perikarditis di negara itu selepas vaksinasi PfizerBioNTech dan Moderna, terutamanya pada remaja dan dewasa.
Mengulas kenyataan KKM pada 23 Februari, bahawa 93 peratus kesan advers susulan imunisasi (AEFI) adalah tidak serius, kata Amir Farid, perkara itu boleh dipersoalkan kerana analisis beberapa badan bebas menemukan dapatan berbeza.
Jelasnya, memang ada benarnya kenyataan KKM itu, jika dilihat dari segi peratusan. Tapi adakah itu angka sebenarnya kerana ada banyak badan bebas yang buat analisis kesan advers menerima dapatan berbeza.
“Tapi saya masih percaya kita perlu diberi pilihan sebab risikonya tinggi, walaupun kerajaan kata sebaliknya,” katanya. – UTUSAN










