MELAKA: Yayasan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) memperuntukkan sebanyak RM500,000 bantuan persekolahan untuk diagih-agihkan kepada 2,500 murid dari 241 buah sekolah rendah bagi sesi persekolahan 2022.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah itu hari ini menerima baucar RM200 setiap seorang bagi pembelian pakaian, kasut, beg dan peralatan tulis yang akan dibeli di Pasaraya Mydin.
Menurutnya, peruntukan daripada kerajaan negeri itu melalui Tapem seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022 baru-baru ini telah diserahkan kepada guru besar sekolah terlibat.
Beliau berkata, seramai 481 murid dari Parlimen Alor Gajah menerima RM96,200, Masjid Tanah seramai 354 murid (RM70,000), Hang Tuah Jaya seramai 228 murid (RM45,600), Tangga Batu seramai 273 murid (RM54,600), Kota Melaka dengan 337 murid (RM67,400) dan Jasin membabitkan 430 murid (RM86,000).
“Kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan melalui Tapem. Sejak tahun 2000 sehingga hari ini sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan untuk pendidikan anak-anak di negeri ini.
“Kerajaan negeri sentiasa meletakkan kepentingan pendidikan sebagai agenda utama dalam proses pembangunan dan transformasi negeri.
“Ini selari dengan hasrat untuk menjadikan Melaka sebagai hab pendidikan yang tersohor di negara dan rantau ini. Tapem telah merealisasikan komitmen terhadap pembangunan pendidikan dan kebajikan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Penyampaian Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah Sesi 2022 dan pelancaran Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Untuk Calon-Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Amverton Heritage Resort, Ayer Keroh di sini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin dan Pengurus Besar Tapem, Datuk Mustafa Musa.
Bagi pelajar sekolah menengah pula, kata Sulaiman, Tapem telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi membantu seramai 16,910 pelajar.
Justeru, kata beliau, seramai 11,355 calon 2021 akan mengikuti program pecutan terakhir SPM dengan memberi tumpuan kepada tiga subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Matematik dan Sejarah secara maya bermula dari 14 hingga 17 Februari ini.
Menurutnya, program tersebut akan dikendalikan oleh guru-guru pakar dan cemerlang yang dipilih khas oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi memastikan mereka memperoleh keputusan cemerlang. –UTUSAN