SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan sesiapapun boleh dikenakan kompaun dan kerajaan tidak membeza-bezakan status dan pangkat dalam penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata, tiada siapa boleh terlepas daripada dikenakan kompaun akibat melakukan kesalahan berkaitan pematuhan SOP pencegahan wabak Covid-19.
“Tidak ada konsep orang atas, kayangan tak kena kompaun, orang bawahan kena kompaun. Siapa pun yang melakukan kesalahan akan dikenakan kompaun termasuk Menteri Pertahanan dan lain-lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Laporan Penunjuk Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia.
Yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dan Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akur sekiranya beliau dan rakan-rakan gabungan berkenaan dikenakan kompaun kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengawal pandemik Covid-19.
Hal demikian susulan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar dalam satu kenyataan di laman Twitter miliknya memberitahu kesemua pimpinan tertinggi yang hadir ke dalam program berkenaan akan dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.
Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Pertahanan memberitahu, perkara berkenaan sukar dikawal lebih-lebih lagi dalam program berbentuk politik menjelang pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan, kesalahan melanggar SOP sehingga dikompaun bukanlah satu jenayah yang boleh menggesa pegawai dan kakitangan kerajaan meletakkan jawatan.
“Langgar SOP bukannya jenayah, tidak ada kena mengena dengan jenayah dan Kementerian Kesihatan sudah mengeluarkan kompaun, jadi, kalau siapa kena kompaun hendak letak jawatan, saya ingat tak ada orang boleh bekerja selepas ini.
“Jadi, tak perlulah (letak jawatan), yang penting tindakan diambil, bermakna kerajaan tidak membeza-bezakan antara individu yang melakukan kesalahan itu, boleh jadi menteri, timbalan menteri atau ketua jabatan, boleh jadi sesiapa,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE