Selongkar hampir 4 tan sampah cari barang kemas  - Utusan Malaysia

Selongkar hampir 4 tan sampah cari barang kemas 

ZAI ASMAWI Zainol Abidin (tiga dari kiri) dan Mohd Razizi Hassan (lima dari kiri) bersama barisan pekerja Wira Oren MBSP yang menjumpai barang kemas yang dibuang secara tidak sengaja oleh pemiliknya di Depo Operasi Pembersihan Tasek Gelugor MBSP, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Sekumpulan pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dikenali sebagai Wira Oren mengambil masa selama hampir dua jam menyelongkar kira-kira empat tan sampah bagi mencari barang kemas yang dibuang secara tidak sengaja oleh pemiliknya, semalam. 

Pekerja Wira Oren yang menjumpai barang kemas tersebut, Zai Asmawi Zainol Abidin, 38, berkata, terbit rasa terharu dan puas sebaik sahaja membuka beg plastik sampah berwarna hitam dipenuhi sampah domestik seperti lampin, sisa makanan termasuk beg barang kemas yang didakwa dibuang. 

“Pada mulanya, rasa macam mustahil nak jumpa barang kemas tu, tapi atas kerjasama rakan sekerja yang ada ketika itu, kami teruskan mencari sehinggalah barang tersebut berjaya dijumpai. 

“Malah, perkara utama yang bermain di fikiran ketika menjumpai barang kemas itu ialah rasa sangat terharu sebab dapat bantu orang yang memerlukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Depo Operasi Pembersihan MBSP, di sini hari ini. 

Katanya, kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku dan menyifatkan kejayaan menjumpai barangan kemas tersebut sebagai rezeki buat pemilik barang kemas, Rohaya Ismail, 31. 

“Kira-kira hampir empat tan sampah kami selongkar, syukur barang kemas tersebut dijumpai dengan selamat,” katanya yang sudah berkhidmat sebagai pekerja MBSP sejak 17 tahun lalu. 

Sementara itu, Pembantu Kesihatan Awam Kanan Depo Operasi Pembersihan MBSP Tasek Gelugor Mohd Razizi Hassan, 42, berkata, meskipun mengetahui prosedur untuk memunggah kembali sampah di depo tersebut begitu ketat, namun atas dasar simpati dan amanah dalam melakukan pekerjaan, dia sanggup berdepan risiko. 

“Kalau ikutkan prosedur, jika terdapat aduan untuk mencari barangan hilang dan sebagainya, pengadu perlu mencari barang yang didakwa hilang di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dekat Nibong Tebal. 

“Tetapi, memandangkan kami terima aduan lebih awal dan sampah yang dikutip baru mencecah hampir empat tan, jadi saya mengarahkan pemandu lori sampah berkenaan untuk bawa lori tersebut ke depo bagi urusan mencari barang kemas yang dikatakan dibuang secara tak sengaja itu,” katanya. 

Tambahnya, sebagai seorang pekerja yang diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab, dia meminta anggota di bawah seliaannya melakukan kerja pencarian dengan jujur kerana ingin membantu insan dalam kesusahan. 

“Semasa proses pencarian, saya tekankan kepada pekerja yang terlibat untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan jujur selain kewajipan menjaga nama baik majikan seperti yang ditekankan oleh pegawai atasan kami dari semasa ke semasa,” katanya. 

Terdahulu, portal berita melaporkan seorang wanita di Tasek Gelugor di sini yang terbuang barang kemas miliknya ke dalam tong sampah sebelum diangkut lori sampah menarik nafas lega apabila ia ditemui semula, semalam. 

Menurut perkongsian pengguna laman sosial Facebook, Yaya Ismail, dia secara tidak sengaja terbuang dompet berisi barang kemas ke dalam tong sampah sebelum menyedarinya kira-kira pukul 9 pagi. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN