Rujuk doktor pakar jika bimbang anak divaksin

Rujuk doktor pakar jika bimbang anak divaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Pe­rubatan Malaysia (MMA) menyarankan ibu bapa merujuk pakar pediatrik atau doktor keluarga sebelum membuat keputusan membenarkan anak-anak mereka menerima suntikan vaksin Covid-19.

Presidennya, Dr. Koh Kar Chai berkata, pihaknya sedar kebimbangan terhadap reaksi buruk daripada vaksin Covid-19 sehinggakan mereka teragak-agak untuk membenarkan suntikan vaksin kepada golongan terbabit.

“Ketika ini, ramai ibu bapa juga bimbang tentang kluster dilaporkan dari institusi pendidikan dan ia memang wajar kerana terdapat laporan jangkitan Covid-19 yang teruk dalam kalangan kanak-kanak walaupun bilangan kes sedikit.

“Kepada ibu bapa ini, MMA menasihatkan mereka untuk bercakap sama ada dengan pakar pediatrik atau doktor keluarga mereka untuk mendapatkan maklumat yang sahih sebelum membuat keputusan untuk memberi vaksin kepada anak-anak,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Kar Chai, pihaknya juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan tidak pernah memaksa suntikan vaksin Co­vid-19 ke atas kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

“Ia adalah satu keputusan yang patut dipuji yang telah diambil oleh kerajaan mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PIC­Kids),” katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan tidak pernah memaksa ibu bapa untuk membenarkan anak mereka mengambil vaksin menerusi PICKids.

“Tiada paksaan dan ia terbuka kepada ibu bapa yang mahu anak mereka divaksin. Vaksin dos pertama pun dulu ramai takut, namun lepas itu ramai berebut-rebut pula.

“Cuma vaksin untuk kanak-kanak ini benda baharu, jadi ia normal. Ini kerana terlalu ba­nyak cerita bukan-bukan yang tular. Kita tidak salahkan rakyat. Walaupun KKM sudah beri jaminan, namun ramai ibu bapa yang bimbang. Tetapi difahamkan semakin ramai ibu bapa hantar anak-anak mereka untuk divaksin,” kata Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×