JOHOR BAHRU: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang pemimpin ‘acah-acah’ apabila sering mengugut untuk menarik sokongan terutama terhadap kerajaan pusat.
Katanya, taktik tersebut tidak lebih hanya permainan politik berbanding mengutamakan agenda rakyat sebenar.
“Muhyiddin tak lebih tak kurang orang politik saja. Semua orang boleh acah, tetapi nak main politik acah atau tidak. Jadi, apabila dia nak main politik acah itu dia punya hal.
“Main politik acah-acah itu bukan cara UMNO kerana UMNO gentleman. Kita ada maruah (bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor) kita tak tahu kita akan dapat sokongan rakyat atau tidak.
“Tetapi kita ada maruah pulangkan balik (kepada rakyat),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
November lepas, Muhyiddin yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Gambir menyifatkan beliau boleh menekan butang untuk menjatuhkan kerajaan Johor ketika itu.
Kenyataan itu hadir selepas veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mencabar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.
Khaled juga mendakwa, Muhyiddin juga yang memulakan tindakan untuk mewujudkan kerajaan yang tidak mempunyai mandat atau pintu belakang berbanding UMNO yang memulangkan kembali kuasa kepada rakyat Johor untuk menentukan kerajaan.
“Siapa mula jatuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad? Adakah UMNO? Muhyiddin yang jatuhkan Mahathir.
“Muhyiddin yang bawa semua masuk pintu belakang, kebetulan ada Covid-19, maka kita terpaksa beri sokongan, tetapi Muhyiddin lah yang tak ada maruah apabila menjatuhkan pemimpinnya kemudian buat kerajaan pintu belakang,” katanya.
Mengulas mengenai kritikan Muhyiddin yang sering dilakukan terhadap UMNO, beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu seperti kehabisan modal apabila sering melaungkan sentimen ‘kluster mahkamah’ untuk menawan hati rakyat.
“Balik-balik cakap pasal rasuah kluster mahkamah. Bukan itu rakyat Johor nak dengar, rakyat Johor nak dengar bagaimana kamu nak tentukan nasib rakyat selama lima tahun akan datang.
“Bagi UMNO dan BN, kita tak campur urusan mahkamah, tetapi kita beri ruang peluang kepada mereka yang berhadapan kes-kes di mahkamah untuk selesaikan di mahkamah, jadi tak ada kaitan.
“Maka siapa datang kita terima siapa nak bantu (kemenangan PRN Johor), bukannya kluster mahkamah nak jadi menteri besar,” ujarnya. – UTUSAN











