PRN Johor: Tidak perlu tempoh kempen panjang - Utusan Malaysia

PRN Johor: Tidak perlu tempoh kempen panjang

WAN AHMAD WAN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak perlu terlalu panjang berikutan situasi penularan Covid-19 yang meningkat semula sejak minggu ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, selain itu, selepas dibubarkan pada 23 Januari lalu, semua parti politik dilihat sudah mula berkempen.

“Tak perlu kempen lama sebab DUN Johor dah dibubar agak lama. Sejak tarikh pembubaran, parti-parti politik dan pemimpin-pemimpin politik tak habis-habis berkempen, bercakap pasal politik, terutama parti-parti pembangkang semua sudah mula mengatur strategi,” katanya di sini semalam.

Wan Ahmad berkata, kempen secara digital perlu menjadi kaedah kempen masa kini yang perlu digunakan seluasnya dan mesej serta janji-janji parti atau calon kepada pengundi lebih mudah sampai.

Katanya, pengenalan profil calon-calon lebih berkesan disebar luas melalui internet atau media sosial terutama melibatkan lebih 750,000 pengundi muda atau Undi18 dan pengundi baharu yang pertama kali didaftarkan secara automatik bakal mengundi dalam PRN nanti.

Beliau menjangka, PRN diadakan Mac iaitu sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

SPR dijadualkan mengadakan Mesyuarat Khas Berkaitan Urusan PRN Johor Ke-15 hari ini di Johor Bharu bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Johor.

Ia meliputi perkara seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

PRN Johor adalah PRN keempat selepas PRN Sabah dilaksanakan pada 26 September 2020 dengan tempoh kempen selama 14 hari, PRN Melaka pula diadakan pada 20 November 2021 (tempoh kempen 12 hari), manakala PRN Sarawak pada 18 Disember 2021 (tempoh kempen 12 hari).

Semasa PRN Melaka, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan tidak membenarkan aktiviti seperti ceramah terbuka, walkabout, ziarah rumah ke rumah dan beberapa lagi aktiviti membabitkan perhimpunan bagi mengelak penularan Covid-19.

Dalam PRN Sarawak sebulan selepas itu, penganjuran cera­mah secara fizikal hanya dibenarkan di kawasan DUN yang tidak mencapai jaringan dan liputan internet. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN