PRN Johor: DAP, Amanah, Muda mesyuarat tanpa PKR - Utusan Malaysia

PRN Johor: DAP, Amanah, Muda mesyuarat tanpa PKR

Pemimpin DAP, Amanah dan Muda mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur semalam tanpa kehadiran pemimpin PKR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat antara DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Ibu Pejabat DAP di sini semalam, menimbulkan persoalan apabila tidak disertai sekutu utama Pakatan Harapan (PH), Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mesyuarat tersebut bermula jam 1 tengah hari tadi dan berakhir pada jam 4 petang bagi membincangkan mengenai strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Antara pimpinan yang hadir pada pertemuan itu, Lim Guan Eng Khalid Samad, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan yang turut hadir dalam mesyuarat itu berkata, ia merupakan perbincangan berasingan, namun masih dalam satu gabungan PH.

“Tetapi PKR tahu dan maklum tentang mesyuarat petang ini, kita masih dalam gabungan PH,” katanya yang menolak dakwaan perpecahan yang berlaku antara ketiga-tiga parti itu.

Dalam pada itu, Syed Saddiq ketika ditemui turut berkata, fokus parti itu hanyalah untuk menang pada PRN Johor dan keputusan buat masa ini adalah muktamad bersama DAP dan Amanah sahaja.

“Tidak ada pertindihan kerusi di antara DAP Amanah, MUDA. PKR kena tanya dia. Dan kita fokus untuk menang pilihan raya,” katanya ketika ditemui.

Ketika ditanya perbincangan antara PKR dan Muda akan dibuat, Syed Saddiq berkata, perbincangan dengan parti lain turut telah dimuktamadkan.

“Semua perbincangan lain secara tertutup yang saya boleh katakan adalah telah dimuktamadkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN