Presiden Steadfast Inspection, Norhafiza terajui perkhidmatan NDT - Utusan Malaysia

Presiden Steadfast Inspection, Norhafiza terajui perkhidmatan NDT

NORHAFIZA Muhamad (duduk) dan Mohamad Amran Mat Yaacob bersama sebahagian kakitangan Steadfast Inspection Sdn. Bhd. di Paka, Dungun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Sejak Steadfast Inspection Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 2010, syarikat kontraktor minyak dan gas (O&G) yang beroperasi di Kampung Cacar di Paka itu sering dipandang sinis hanya kerana pemiliknya seorang wanita.

Namun, Norhafiza Muhamad, 39, berjaya membuktikan persepsi masyarakat silap apabila perniagaan yang diusahakan itu berdiri teguh sebagai antara penyedia perkhidmatan ujian tanpa musnah (NDT) terbaik di Malaysia hingga kini.

Lebih istimewa, Steadfast Inspection juga merupakan satu-satunya syarikat berasaskan NDT milik wanita yang mendapat kontrak Provision of Pan Malaysia Inspection & Corrosion Monitoring Services (ICMS) daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sejak 2018.

Menerusi kepercayaan itu, Norhafiza bertanggungjawab menyediakan pemeriksaan kepakaran di kesemua 13 loji pemprosesan Petronas di seluruh negara dan turut dipanggil sebagai pasukan penyelamat di Melaka.

Katanya, Steadfast Inspection kini membekalkan seramai 200 inspektor manakala 32 lagi pekerja tetap.

Ibu kepada enam anak berusia antara empat bulan hingga 16 tahun itu berkata, segala penat-lelahnya selama ini berbaloi walaupun cuma bermodalkan kira-kira 20 peratus, jumlah yang sangat kecil ketika memulakan perniagaan manakala baki 80 peratus lagi adalah bersandarkan pengalaman dan ilmu.

“Saya berdepan cabaran kuat, namun berjaya diatasi dengan dorongan dan sokongan suami, Mohamad Amran Mat Yaacob merangkap Ketua Pegawai Eksekutif di Steadfast Inspection.

“Di samping itu, saya turut mengikuti pelbagai kursus pensijilan seperti radiografi dan lain-lain berkaitan NDT yang berkos tinggi semata-mata untuk meningkatkan keupayaan diri serta syarikat,” kata Presiden Steadfast Inspection itu ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Norhafiza yang berpengalaman luas dalam bidang operasi dan strategi di samping penyediaan tenaga kerja di sektor O&G mula diberi tanggungjawab memimpin pasukan seawal usia 28 tahun, malah pernah berkhidmat dengan pelbagai syarikat kontraktor gergasi.

Anak negeri itu turut memiliki pelbagai pengiktirafan termasuk sebagai syarikat pertama penyedia perkhidmatan NDT yang menerima ISO 45001:2018 dalam kalangan lebih 300 organisasi di seluruh Malaysia.

Menurut Norhafiza, tiada apa yang mustahil untuk dicapai golongan wanita jika ada kesungguhan sekali gus berharap lebih ramai lagi kaum hawa dan generasi muda dapat menceburi bidang NDT di masa depan.

Dia turut berhasrat membekalkan tenaga kerja pakar NDT pertama Malaysia menjelang 2027 selaras untuk memperluaskan perkhidmatan syarikat di samping memperkasakan lagi kualiti pasukan teknikal agar setanding dengan kepakaran asing.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan bakat-bakat tempatan tidak terus diketepikan memandangkan mempunyai kemahiran dan peralatan bagi melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar.

“Besar harapan saya agar Steadfast Inspection dapat menawarkan latihan kepada anak tempatan dan jika ada keperluan untuk mereka mengikuti kursus berkaitan NDT di luar negara, maka kita akan hantar,” katanya.

Sementara itu, Norhafiza berkata, prestasi positif syarikat menambah keyakinannya untuk meluaskan perkhidmatan pemeriksaan ke loji-loji pesisir pantai pula bermula tahun depan, berbanding loji pemprosesan Petronas ketika ini.

Selain NDT, antara perkhidmatan lain yang ditawarkan Steadfast Inspection ialah tenaga kerja pakar bagi kerja-kerja pemeriksaan loji pemprosesan di samping penyelenggaraan mekanikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN