Pekerja asing: Syarikat multinasional boleh jejas imej, eksport negara

Pekerja asing: Syarikat multinasional boleh jejas imej, eksport negara

pekerja asing
PEKERJA asing dianggap sebagai buruh paksa dan ‘berhutang’ jika perlu membayar sejumlah wang di negara asal mereka sebelum dibawa masuk ke Malaysia sebagai pekerja asing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu tegas memastikan syarikat multinational tidak menggunakan sindiket untuk membawa ma­suk pekerja asing kerana tindakan itu akan merisikokan negara kepada dakwaan mengamalkan buruh paksa dan pemerdagangan manusia.

Pekerja migran yang membayar sejumlah wang kepada ejen pekerja asing tidak sah di negara asal mereka sebelum memasuki negara ini dianggap ‘berhutang’ dan boleh dianggap sebagai satu bentuk amalan buruh paksa oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. N. Sukumaran berkata, majikan yang merekrut pekerja asing yang ‘berhutang’ itu berdepan risiko produk mereka dikenakan sekatan dan disita oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP).

US CBP sebelum ini pernah mengumumkan Notice of Findings ke atas semua produk minyak sawit keluaran Sime Darby Plantations Berhad (SDP) dan anak syarikatnya daripada memasuki pasaran negara itu. Sekatan juga pernah dikenakan ke atas WRP Asia Pacific dan Top Glove Corporation Berhad.

Beliau berkata, setiap syarikat yang beroperasi di Malaysia tertakluk di bawah peraturan Responsible Business Alliance (RBA) yang antaranya ialah pekerja asing yang bekerja di bawah syarikat itu tidak boleh membayar satu sen pun.

“Ini termasuk perlu mematuhi skor kad Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang sangat dititikberatkan AS dan Eropah. Kalau melanggar ESG, maka barangan mereka tidak boleh dieksport ke negara-negara berkenaan.

“Jika dibuktikan pekerja migran yang dibawa masuk syarikat membayar sejumlah wang sebelum mereka direkrut, syarikat ber­kenaan perlu membayar semula segala kos yang dibayar pekerja itu demi ‘membersihkan’ segala kegiatan berkaitan isu buruh paksa,” katanya.

Imej Malaysia

Semalam, SDP mengumumkan peruntukan RM82.02 juta untuk membayar balik yuran pengambilan pekerja asing mereka yang dikenakan oleh ejen perekrutan pihak ketiga.

Kes itu melibatkan 15,078 pekerja asing semasa dengan jumlah RM38.55 juta dan RM43.47 juta untuk membayar balik 19,565 bekas pekerja asing syarikat berkenaan yang berasal dari Indonesia, India, Bangladesh, Nepal, Myanmar, Kemboja, Sri Lanka, dan Pakistan.

Sukumaran berkata, jika sindiket seumpama ini tidak disekat, imej Malaysia akan te­rus tercemar dan mengundang kerugian kepada negara.

Ini kerana, katanya, sejumlah dana perlu dikeluarkan semata-mata bagi membayar semula wang yang dikenakan kepada pekerja itu oleh ejen secara tersembunyi, selain kerugian akibat sekatan import pihak antarabangsa.

Justeru, katanya, kerajaan perlu menghentikan kegiatan eksploitasi dan monopoli syarikat tertentu bagi pengambilan pekerja asing dari negara luar selain memastikan tidak ada mana-mana syarikat gergasi menyalahi undang-undang negara mahu pun antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN