Pampasan, moratorium untuk pembeli PR1MA

Pampasan, moratorium untuk pembeli PR1MA

IKB tanpa bar keluli di Sabah dan Sarawak meningkat di antara 0.1 dan 2.8 peratus bagi hampir semua kategori bangunan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembeli rumah projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan dibayar pampasan selain diberikan moratorium bagi meringankan beban kerugian disebabkan kelewatan projek tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya telah mengarahkan PR1MA membayar pampasan itu selari dengan Denda Lewat Penyerahan Rumah (LAD) kepada pembeli yang layak.

Katanya, perkara itu telah di­bawa kepada Menteri Kewangan supaya peminjam LPPSA diberikan moratorium atau pen­strukturan pembayaran balik dise­bab­kan masalah yang timbul.

“Alhamdulillah, ia diluluskan dan memberi manfaat kepada pembeli yang terdiri daripada penjawat awam sendiri. Saya ki­ni ada pasukan yang cukup baik. Pengerusi PR1MA yang baharu pun aktif melihat perkara ini. Malah, Perdana Menteri turut ambil cakna tentang perkembangan PR1MA seperti mana peruntukan di dalam Akta PR1MA sendiri,” katanya.

Pada masa yang sama, Ree­zal Merican menegaskan, kese­mua 21 projek sakit dan lewat melibatkan projek PR1MA akan diberi perhatian sewajarnya dan diambil tindakan pemulihan.

Menurut beliau, maklumat berkenaan projek yang terkesan juga telah dimaklumkan kepada pihak-pihak berkepentingan ter­utamanya pihak pembeli melalui sesi Homebuyer Review Committee (HRC) secara berkala.

“Semua projek perumahan di bawah kementeriannya dipantau dan dilaporkan secara berkala di dalam satu jawatan­kuasa perumahan yang dipengerusikan oleh saya sendiri.

“Melalui jawatankuasa ini, kita lihat satu persatu semua projek perumahan di bawah kementerian yang dikategorikan sebagai sakit dan lewat terma­suklah PR1MA.

“Oleh sebab itu, setiap projek yang mengalami masalah berada dalam pantauan kementerian dan telah dipersetujui dengan kontraktor satu pelan mitigasi yang akan dilaksanakan oleh PR1MA bagi memastikan isu-isu kelewatan dapat diselesaikan dengan cepat, tangkas dan terbaik untuk kebaikan semua pihak.

“Pelaksanaan pelan mitigasi ini dipantau rapat melalui pemerhatian khusus, laporan mingguan dan surat amaran. Bagi projek sakit dan lewat, PR1MA sentiasa memberikan maklumat yang dikemaskini kepada pihak kementerian secara mingguan, serta langkah-langkah pemulihan yang telah dilaksanakan untuk projek yang berkaitan,” jelasnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pendedahan Pengerusi PR1MA, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jaya mengenai masalah yang dihadapi oleh perbadanan itu dalam menyediakan rumah mampu milik kepada golongan sasar di negara ini.

Fathul Bari berkata, ketika ini terdapat 21 projek PR1MA berstatus sakit selain satu projek lewat selain perbadanan itu turut berdepan masalah sa­botaj daripada kontraktor sendiri yang berpunca daripada proses pembayaran.

Mengulas mengenai punca kelewatan, Reezal Merican berkata, faktor utama yang menyebabkan kelewatan dalam penyiapan rumah adalah kekangan kewangan yang dialami oleh PR1MA pada 2017 hingga 2019 yang telah menyebabkan kelewatan dalam pembayaran.

“Pada 2019, satu Pelan Rasionalisasi Projek PR1MA telah dilaksanakan dan sehingga kini, PR1MA tidak lagi lewat dalam melunaskan sebarang pembayaran kepada pihak kontraktor.

“Namun begitu, seperti mana umum ketahui, pandemik Co­vid-19 yang bermula sejak Disember 2019 dan PKP yang bermula sejak Mac 2020 telah menyebabkan tapak-tapak pembinaan ditutup dan bekalan bahan binaan terganggu untuk satu tempoh masa yang panjang.

Dalam pada itu katanya, walaupun dengan pembukaan semula ekonomi secara berfasa, prosedur operasi standard (SOP) ketat yang masih dilaksanakan terutamanya apabila terdapat penularan kes di tapak, menyebabkan tapak terpaksa ditutup.

“Selain itu, antara impak utama daripada pandemik Covid-19 adalah kekurangan tenaga buruh binaan, peningkatan kos bahan binaan dan kos pelaksanaan SOP di tapak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN