KLANG: Sebanyak 27 lokasi Bazar Ramadan di daerah ini disediakan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang akan membuka permohonannya pada 28 Februari sehingga 11 Mac hadapan.
Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, bayaran dikenakan adalah RM150 bagi tapak yang tidak digunakan untuk pasar malam, manakala RM130 bagi tapak yang digunakan.
“Semua peniaga dan pelanggan berniaga dan masuk ke tapak perlu menunjukkan Kad atau Sijil Digital Vaksinasi Covid 19 bagi membuktikan mereka (peniaga dan pelanggan) lengkap divaksin sebelum dibenarkan masuk ke Bazar.
“MPK menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 bagi memastikan tiada isu penularan wabak berkenaan dan dalam masa yang sama operasi Bazar Ramadan berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norfiza berkata,peniaga yang berminat boleh meneliti syarat ditetapkan dan borang permohonan boleh didapati secara atas talian melalui Sistem Permohonan Permit Perniagaan Sementara dengan melayari portal Majlis Perbandaran Klang (https://iportal.mpklang.gov.my/PermitOnline). –UTUSAN ONLINE