PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia menerima sebanyak 111,807 permohonan pekerja warga asing melibatkan lima sektor utama selepas mula dibuka pada 15 Februari lalu.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, permohonan dibuat oleh majikan untuk pekerja warga asing bagi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan penggajian pekerja warga asing.
Sehingga semalam, katanya, sebanyak 111,807 permohonan pekerja warga asing melibatkan sektor perkilangan (77,848), perladangan (13,119), perkhidmatan (10,611), pembinaan (8,530) dan pertanian (1,699).
“Malah, dalam proses permohonan itu, saya tidak menafikan pada peringkat awal permohonan ini dibuka, terdapat majikan yang menghadapi kesukaran untuk memohon secara dalam talian.
“Masalah timbul susulan jumlah permohonan yang tinggi memandangkan permohonan untuk pekerja warga asing dihentikan buat sementara sejak bulan Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, beliau juga membuat pengumuman sebelum ini bahawa permohonan pekerja warga asing secara dalam talian perlu diisi sendiri oleh majikan kecuali permohonan untuk pembantu rumah asing (PRA).
“Namun begitu, semasa sesi pertemuan dengan pihak majikan dan persatuan baru-baru ini, saya dimaklumkan mengenai masalah yang dihadapi majikan semasa membuat permohonan dan mereka menggunakan khidmat Agensi Pekerjaan Swasta (APS) bagi tujuan tersebut.
“Atas tindakan itu, APS boleh membuat permohonan bagi pihak majikan dengan syarat bahawa permohonan tersebut dikemukakan dengan pengetahuan dan kebenaran majikan,” katanya.
Awal bulan ini, Saravanan menegaskan, semua majikan diingatkan tidak menggunakan khidmat mana-mana agensi pekerjaan swasta bagi mengisi permohonan pekerja asing bagi sektor perladangan secara pengecualian khas.
“Semua permohonan itu perlulah diisi sendiri oleh majikan bukannya agensi pekerjaan swasta.
“Perkhidmatan agensi pekerjaan swasta hanyalah sebagai pemudah cara dan tidak boleh membuat permohonan penggajian pekerja warga asing bagi pihak majikan,” katanya. –UTUSAN ONLINE










