PADANG TERAP: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Kedah Rubber City (KRC), taman perindustrian getah khusus mesra alam pertama di Malaysia yang dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhan semasa negeri ini dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Menurut beliau, KRC merupakan salah satu daripada pelbagai projek pencetus perubahan ‘game changer’ yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri untuk mentransformasi negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang maju.
“Ini sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara wilayah. Projek ini turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyampaikan pembangunan berskala besar ke kawasan-kawasan kurang membangun di negara ini, “ katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Projek Strategik NCER – KRC di Ladang Bukit Ketapang di sini hari ini.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran sembilan dokumen kerjasama antara NCIA dan pelabur serta rakan-rakan strategik dalam pembangunan KRC.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John.
Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Ke-28 NCIA di sini.
Ismail Sabri memberitahu, sambutan terhadap KRC sehingga kini adalah amat menggalakkan dan berjaya menarik pelaburan komited bernilai kira-kira RM4 bilion selain mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan baharu.
“Malah, KRC kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pelaburan swasta RM10 bilion menjelang 2025, iaitu lima tahun lebih awal daripada sasaran asal 2030,” ujarnya.
Beliau menambah, sentimen pelabur yang positif, pelaksanaan projek dan program strategik serta insentif menarik oleh Kerajaan Persekutuan melalui NCIA dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan dan pemulihan ekonomi di wilayah tersebut untuk tahun ini.
“Pada 2021, NCIA berjaya memudah cara pelaburan berjumlah RM26.27 bilion ke NCER berbanding sasaran asal RM16 bilion, yang akan mewujudkan 30,573 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat,” katanya.
KRC, yang bakal dibangunkan dalam dua fasa di kawasan seluas 503 hektar,, merupakan salah satu projek strategik nasional Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan melalui NCIA dengan tujuan menjadikannya sebuah peneraju dalam pembangunan industri getah Malaysia serta hab global bagi industri getah nilai.
Fasa 1 pembangunan KRC melibatkan kawasan seluas 200 hektar kini disiapkan dan taman perindustrian tersebut bersedia untuk menerima kedatangan pelabur.
Malah, Kerajaan Persekutuan dengan sokongan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM417.5 juta untuk Fasa 1 projek tersebut.
Susulan kemajuan memberangsangkan KRC Fasa 1, Fasa 2 projek berkenaan di kawasan seluas 302 hektar dijadual akan bermula pada 2023. -UTUSAN ONLINE