KAHERAH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Israel dan Hamas telah bersetuju melaksanakan fasa pertama pelan damai Gaza pimpinannya, yang digambarkan beliau sebagai langkah ‘bersejarah dan tidak pernah berlaku sebelum ini’ ke arah menamatkan perang dua tahun di wilayah itu.
Trump berkata, di bawah perjanjian berkenaan, Hamas akan membebaskan semua tebusan, manakala tentera Israel akan berundur ke garisan yang dipersetujui, susulan rundingan di Mesir berhubung pelan damai 20 perkara yang dikemukakannya.
“Saya amat berbangga mengumumkan Israel dan Hamas kedua-duanya telah menandatangani fasa pertama pelan damai ini,” kata Trump di platform Truth Social.
“Ini bermakna SEMUA tebusan akan dibebaskan dalam masa terdekat, dan Israel akan menarik balik tenteranya sebagai langkah awal ke arah keamanan yang kukuh, berkekalan dan abadi,” katanya.
Trump turut berterima kasih kepada Qatar, Mesir dan Turkiye atas peranan mereka sebagai pengantara, sambil menulis, ‘Diberkati mereka yang membawa keamanan!’
Dalam satu detik dramatik, wartawan AFP menyaksikan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menghentikan seketika satu acara di Rumah Putih untuk menyerahkan nota tergempar kepada Trump mengenai perkembangan rundingan di Mesir itu.
Media yang dikaitkan dengan kerajaan Mesir melaporkan kedua-dua pihak mencapai persetujuan berhubung pertukaran tebusan dengan tahanan Palestin serta kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Trump turut memaklumkan beliau berhasrat melawat Asia Barat hujung minggu ini, berkemungkinan ke Mesir atau Gaza, bagi memantau pelaksanaan awal perjanjian tersebut.
Pelan damai Trump turut merangkumi gencatan senjata menyeluruh, pelucutan senjata Hamas, dan pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza.
Sumber diplomatik berkata, rundingan di Sharm el-Sheikh turut disertai menantu Trump, Jared Kushner, dan utusan khas Asia Barat, Steve Witkoff.
Sementara itu di Gaza, suasana penuh harapan dan kelegaan dilaporkan menyelubungi kawasan Al-Mawasi di selatan Gaza menjelang pengumuman rasmi, dengan laungan ‘Allahu Akbar’ kedengaran dan sebahagian penduduk melepaskan tembakan ke udara sebagai tanda kegembiraan.
“Kami mengikuti setiap perkembangan berita mengenai rundingan dan gencatan senjata ini dengan penuh perhatian,” kata Mohammed Zamlot, 50 tahun, yang terpaksa meninggalkan rumahnya di utara Gaza.
Menurut Hamas, kumpulan itu sudah menyerahkan senarai tahanan Palestin yang diminta dibebaskan oleh Israel dalam fasa pertama.
Sebagai pertukaran, Hamas akan melepaskan 47 baki tebusan, termasuk mereka yang disahkan telah meninggal dunia, yang ditawan dalam serangan pada 7 Oktober 2023.
Turut dijangka menyertai rundingan ialah Perdana Menteri Qatar, dan ketua perisikan Turkiye, bersama wakil kumpulan Jihad Islam dan Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP).
Rundingan ini berlangsung ketika dunia memperingati ulang tahun kedua serangan Hamas pada 2023 yang mengorbankan 1,219 orang di Israel.
Sejak itu, serangan balas Israel telah menyebabkan lebih 67,000 kematian di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan wilayah yang ditadbir Hamas, angka yang disahkan kredibel oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Walaupun perjanjian telah dicapai, serangan udara Israel dilaporkan masih berterusan dalam beberapa jam terakhir sebelum pengumuman.
Tekanan antarabangsa agar perang di Gaza ditamatkan semakin memuncak, ketika sebahagian besar wilayah itu musnah, kebuluran diisytiharkan PBB dan keluarga tebusan Israel terus menanti kepulangan orang tersayang.
Salah satu perkara utama dalam rundingan ialah senarai tahanan Palestin yang diminta Hamas untuk dibebaskan.
Menurut media yang dikaitkan dengan kerajaan Mesir, antara nama berprofil tinggi dalam senarai itu ialah Marwan Barghouti, tokoh terkenal daripada pergerakan Fatah, pesaing utama Hamas.
Ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya, pula menegaskan bahawa kumpulannya mahu jaminan daripada Presiden Trump dan negara penaja bahawa perang ini akan berakhir sepenuhnya selepas perjanjian damai dilaksanakan.-AFP










