Kerajaan Selangor cadang tingkat jumlah lokasi jual ayam murah - Utusan Malaysia

Kerajaan Selangor cadang tingkat jumlah lokasi jual ayam murah

AMIRUDIN Shari (tiga dari kiri) beramah mesra dengan salah seorang penerima pinjaman pendidikan daripada kerajaan negeri di SUK Selangor, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bercadang memperbanyakkan lokasi jualan ayam standard murah di bawah Program Intervensi Harga Makanan Ehsan yang diperkenalkan Sabtu lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya mahu seramai mungkin rakyat negeri itu dapat membeli ayam tersebut dengan harga murah iaitu RM8 sekilogram seperti yang ditawarkan ketika ini.

“Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) esok, kita akan bincang berhubung hal ini.

“Namun, kita akan lihat kos dan keupayaan sekiranya mahu memperbanyakkan lokasi jual ayam murah ini,” katanya selepas menghadiri majlis penyampaian surat tawaran pinjaman boleh ubah dalam negara di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini, hari ini.

Beliau menambah, bekalan ayam dan telur di negeri ini mencukupi sehingga Hari Raya Aidilfitri, Mei nanti.

Minggu lalu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjual ayam pada harga RM8 sekilogram di semua premis jualan yang dikelolanya. 

Amirudin berkata, dana berjumlah RM1 juta telah diwujudkan bagi menjayakan program ini.

Dalam pada itu, menurutnya, program intervensi yang dijalankan pihaknya ketika ini hanyalah bersifat sementara iaitu menstabilkan harga ayam di peringkat pengguna. 

“Kita hanya boleh buat intervensi paling lama empat bulan, namun, kerajaan pusat yang perlu mencari jalan Penyelesaian menyeluruh berhubung kenaikan harga ayam. 

“Saya harap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ada jalan penyelesaian harga ayam dan telur ayam bagi jangka panjang,” harapnya. 

Mengulas berhubung program hari ini, seramai 117 mahasiswa dan mahasiswa menerima surat tawaran pinjaman daripada kerajaan negeri. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN