JERANTUT: Kerajaan negeri menyumbang RM10,000 kepada anak sulung Kamarulzaman Mohd. Fauzi @Jazuli, Muhammad Zafifi, 28, untuk ‘terbang’ ke Korea Selatan bagi menziarahi bapanya yang masih koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju.
Penyampaian sumbangan itu disempurnakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada Muhammad Zafifi di kediaman Nazri di Kampung Mat Kilau di sini semalam.
Perkembangan terkini, Kamarulzaman seorang pekerja kilang tisu di Cheongju, Korea Selatan masih koma apabila disahkan oleh pegawai perubatan di sana mengalami darah beku di kepala dan pembuluh darah pecah masih dirawat hospital tersebut, manakala jangkitan Covid-19 sudah beransur pulih.
Nazri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata, sumbangan kerajaan negeri itu dibuat setelah kisah Kamarulzaman dari Kampung Batu Balai di sini disiarkan di Utusan Malaysia baru-baru ini.
“Menteri Besar meminta Muhammad Zafifi menggunakan wang ini untuk ke Korea Selatan termasuk penginapan dan makanan bagi menziarahi bapanya yang masih dirawat di sana.
“Menteri Besar dan seluruh rakyat Pahang bersimpati serta berdoa supaya Muhammad Zafifi dapat segera bertemu dengan bapanya yang masih dijaga oleh seorang sepupunya yang juga bekerja di Korea Selatan, Solehah Adlan,” katanya kepada pemberita di Kampung Mat Kilau di sini semalam.
Mengulas lanjut, Nazri berkata, kerajaan negeri akan terus mengikuti perkembangan Kamarulzaman sambil berharap Muhammad Zafifi dan keluarga reda dengan ujian Allah SWT.
“Sekiranya dengan pertolongan Allah SWT, Kamarulzaman sembuh dan sihat serta dibenarkan pulang ke tanah air, kita akan membantu apa cara sekalipun, tetapi keadaan masih koma melibatkan sebarang kemungkinan akan berlaku semasa rawatan, saya berharap keluarga Muhammad Zafifi di sini reda berdepan dugaan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Zafifi masih berusaha nenerusi ihsan penduduk Kampung Batu Balai dan para dermawan untuk memperoleh dana sebanyak RM350,000 atau 380 juta Won (mata wang Korea Selatan) bagi melunaskan bayaran perubatan dan pembedahan bapanya dalam tempoh 20 hari di hospital tersebut.
“Hari ini, wang derma sudah terkumpul sebanyak RM23,000 hasil amal jariah sumbangan penduduk Kampung Batu Balai dan berdekatan bagi mnjelaskan kos perubatan bapa di sana secara beransur-ansur.
‘Namun, saya dan ahli keluarga reda dengan ujian Allah SWT sekiranya sebarang kemungkinan berlaku terhadap bapa di sana memandangkan dia masih lagi koma akibat komplikasi darah beku di kepala dan pembuluh darah yang pecah memerlukan rawatan rapi di Korea Selatan,” katanya.
Muhammad Zafifi bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar yang mengambil maklum penderitaan yang menimpa bapanya serta kesusahan ditanggung keluarganya dalam tempoh ini.
“Saya juga berterima kasih kepada pemimpin setempat dan penduduk Batu Balai khususnya yang bersimpati dengan menyumbangkan bantuan untuk kos perubatan bapa sambil berdoa mereka diberi ganjaran yang besar oleh Allah SWT,” katanya.
Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, dalam masa terdekat ini, dia akan menguruskan tiket penerbangan termasuk visa lawatan dengan pejabat Kedutaan Korea Selatan serta urusan tertentu dengan Wisma Putra di Kuala Lumpur bagi membolehkan dia melakukan perjalanan ke negara tersebut.
Orang ramai yang ingin beramal jariah dengan menghulurkan sumbangan bolehlah menghubungi Muhammad Zafifi menerusi talian 0148101377 atau +821075318557 (Solehah di Korea Selatan) atau terus ke akaun Maybank bernombor 556208131635. -UTUSAN ONLINE