Keakraban 65 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Kemboja  - Utusan Malaysia

Keakraban 65 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Kemboja 

ISMAIL Sabri Yaakob bercakap dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatnya, Samdech Techo Hun Sen di Kemboja, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Kemboja akan terus berusaha memperkukuhkan kerjasama sedia ada di samping mendukung keamanan, kestabilan dan  kemakmuran demi kebaikan rakyat dan rantau ini sempena  65 tahun penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi Malaysia, Kemboja adalah negara jiran dan rakan seanggota dalam keluarga ASEAN penting yang sentiasa berganding bahu dalam apa jua keadaan, di masa senang mahupun susah.  

Dalam hal ini, beliau membangkitkan kembali keterlibatan Malaysia  dalam setiap fasa Pemerintahan Peralihan Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu di Kemboja (UNTAC) berikutan  pemetraian Perjanjian Keamanan Paris (Paris Peace Accords) 1991. 

“Saya berbesar hati kerana dapat peluang mengadakan lawatan rasmi saya yang pertama ke Kemboja, negara yang indah lagi makmur ini. Saya gembira melihat pembangunan  bandar raya Phnom Penh yang rancak dan dinamik.  

“Saya gembira kerana Malaysia telah menyumbang ke arah tercapainya keamanan di Kemboja,” katanya dalam nota percakapan sidang akhbar bersama rakan sejawatnya, Samdech Techo Hun Sen di Kemboja, hari ini.

Dalam pertemuan bersama kedua-dua pemimpin itu,  kedua-dua pihak bersetuju bahawa pertukaran lawatan  perlu dipertingkatkan lagi, bukan sahaja di peringkat tertinggi, malah di semua peringkat, sekali gus menyumbang kepada keakraban hubungan serta persahabatan yang saling memahami dan menghargai satu sama lain. 

Kata Perdana Menteri, pertukaran lawatan akan membuka lebih banyak peluang dalam pertumbuhan kerjasama pelbagai dimensi, misalnya pembangunan sumber manusia, infrastruktur, perdagangan dan pelaburan, pelancongan dan pendidikan. 

“Saya juga amat menghargai peluang untuk bertemu dengan Paduka Raja Norodom Sihamoni, Raja Kemboja sejurus selepas bertemu dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja,” katanya. 

Ismail Sabri berkata, Kemboja telah maju ke hadapan dalam usaha menangani dan memulihkan pandemik Covid-19 dan kadar vaksinasi di negara ini adalah antara yang terbaik di rantau ini sekali gus membolehkan Kemboja membuka semula sempadan antarabangsa kepada pengunjung dari luar sejak November tahun lalu.  

Dalam hal ini, kata beliau, Malaysia juga mencatatkan prestasi amat baik kadar vaksinasi melebihi 80 peratus penduduk tempatan di samping tambahan 60 peratus daripada penduduk telah pun mendapatkan dos penggalak.  

Di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk  Kanak-kanak (PICKids), menurut beliau, hampir 13 peratus daripada kanak-kanak  dari umur 5 hingga 11 tahun telah menerima dos pertama, manakala sebanyak 89.9 peratus daripada remaja dari 12 ke 17 tahun pula  melengkapkan vaksinasi Covid-19 selain 92.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.  

“Justeru, Kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan dengan serius berkenaan pembukaan sempadan  antarabangsa Malaysia. Keputusan mengenai perkara ini akan saya maklumkan dalam masa terdekat.

“Apabila sempadan antarabangsa kita dibuka nanti, Malaysia boleh meningkatkan lagi kerjasama dua hala dengan Kemboja dalam pelbagai bidang termasuklah pengiktirafan sijil vaksinasi Covid-19 secara timbal balas untuk memudahkan perjalanan, dan banyak lagi inisiatif yang menyumbang kepada pemulihan pasca-pandemik Covid-19.

 “Saya percaya Malaysia dan Kemboja boleh berkerjasama dalam perkara ini, termasuk menerusi ASEAN,” katanya. 

Perdana Menteri turut mengakui bahawa perdagangan dua hala antara dua negara masih  rendah dan perlu ditingkatkan lagi, selaras dengan potensi kedua-dua negara termasuk perdagangan dalam sektor perladangan dan komoditi. 

Kata beliau, Malaysia menawarkan minyak sawit dan produk minyak sawit berkualiti tinggi  kepada Kemboja dan berharap agar perdagangan dalam produk itu dapat dipertingkatkan lagi. 

Dari segi pelaburan, beliau berkata,  aktiviti  dan sumbangan para pelabur dari Malaysia di Kemboja amat menggalakkan, di mana ia membuka banyak peluang-peluang pekerjaan dan ekonomi yang menyumbang  kepada perkembangan ekonomi di Kemboja.  

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Hun Sen dan Kerajaan Kemboja yang sentiasa memudahcara  perniagaan dan pelaburan Malaysia di negara ini.  

“Saya juga ingin menggalakkan kedua-dua negara untuk  mempeluaskan kolaborasi dalam bidang ICT, Fintech,  keselamatan siber, SMEs, dan termasuk perniagaan Startups. Saya dan Hun Sen sependapat agar komuniti perniagaan  meneroka sektor-sektor ini bagi meningkatkan perdagangan  dan pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN