KUALA LUMPUR: Kajian terhadap konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sudah dilakukan dan Kementerian Pendidikan (KPM) wajar melihat semula kajian tersebut yang mempunyai jawapan kepada isu tersebut yang pernah dibangkitkan.
Malah, bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, dapatan daripada hasil kajian yang dinamakan Kajian Dasar Pendidikan Negara 2019 itu hampir dilaksanakan semasa beliau menerajui kementerian itu.
“Ketika saya menjadi menteri, saya ada mendengar keluhan ini. Kerana itu kita telah menjalankan kajian untuk memastikan rintihan itu berpenghujung.
“Menerusi Kajian Dasar Pendidikan Negara 2019, kami telah menyediakan Model Pendidikan Baharu iaitu berteraskan nilai-nilai yang baik untuk diterapkan kepada anak-anak kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad menggesa supaya sistem KBAT dirombak atas alasan ia mewujudkan jurang antara murid sehingga mereka yang ketinggalan berasa sangat tertekan untuk meneruskan persekolahan.
Kata Maszlee, berdasarkan Kajian Dasar Pendidikan Negara 2019, KPM bukan sekadar memansuhkan peperiksaan bagi semua murid Tahap 1 yang merangkumi Tahun 1, 2 dan 3 tetapi memanggil 4,369 murid cicir kembali ke sekolah melalui Program Sifar Murid Cicir.
“Saya pernah kata untuk melaksanakan pembelajaran berlandaskan nilai-nilai itu pada tahun 2019. Bentuk pentaksiran bagi murid Tahap Satu iaitu bagi Tahun 1, 2 dan 3 di semua sekolah rendah tertumpu kepada perkembangan karakter dan potensi murid.
“Penekanan itu adalah berorientasikan pembelajaran dan tidak lagi berorientasikan peperiksaan sekali gus boleh dijadikan pentaksiran alternatif ini bagi menggantikan Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Akhir Tahun yang telah lama diamalkan,” katanya. – UTUSAN







