KUALA LUMPUR: Presiden Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir perlu membuktikan dakwaannya termasuk mengemukakan saksi mengenai ahli-ahli Bersatu yang dikatakan menipu tarikh keahlian untuk bertanding dalam pemilihan parti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, Ahli Parlimen Jerlun itu tidak mempunyai kapasiti untuk mengkritik hal-hal dalaman parti lain.
“Penipuan seperti ini perlu dilaporkan oleh ahli-ahli Bersatu sendiri. Apabila membuat dakwaan seperti itu, pembuktian terletak pada pihak yang mendakwa. Jangan tuduh semberono sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan memetik dakwaan Mukhriz, ada ahli Bersatu menipu tarikh keahliannya kerana mahu bertanding dalam pemilihan parti sehingga menimbulkan masalah termasuk melantik pemimpin tidak berpengalaman.
Sementara itu, bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya berkata, isu penipuan tarikh keahlian dalam Bersatu adalah benar kerana ramai ahli mahu bertanding merebut jawatan dalam parti.
Katanya, manipulasi tarikh keahlian menjadi masalah yang terpaksa dihadapinya semasa berada dalam parti berkenaan.
Beliau yang kini Naib Presiden Pejuang mendakwa sudah mengikuti proses seperti termaktub dalam perlembagaan parti tetapi dikecam oleh sebahagian ahli Bersatu seolah-olah mereka dihalang daripada bertanding dalam pemilihan parti,’’ katanya yang dipecat daripada jawatan berkenaan pada 18 Mac 2020. – UTUSAN










