ALOR SETAR: Harga makanan yang dijual di bazar Ramadan dijangka meningkat antara 20 hingga 30 peratus bagi menampung kos peningkatan harga bahan mentah dan sewa tapak daripada pihak kerajaan tempatan (PBT).
Menurut Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah, Baharudin Mohd. Ali, kenaikan harga barang itu tidak dapat dielakkan demi kelangsungan peniaga-peniaga kecil.
“Peniaga terpaksa naikkan harga makanan yang dijual, tidak banyak antara 20 hingga 30 peratus, misalnya murtabak dulu RM3 tahun ini mungkin RM4, nasi ayam dulu RM4 tahun ini mungkin RM4.50 atau RM5,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, persatuan turut melahirkan rasa terkilan dengan tindakan PBT yang menaikkan harga sewa tapak itu termasuk bazar Ramadan.
“Peniaga kecil ini baru sahaja nak bangun semula akibat pandemik Covid-19 dan semua barangan sudah naik. Bazar Ramadan dulu cuma RM1,400, tetapi, tahun ini naik sehingga RM6,000 satu tapak.
“Untuk menampung kenaikan tersebut, kami terpaksa naikkan harga makanan. Saya pernah membuat permohonan agar kenaikan ini ditangguhkan dahulu ketika Covid-19, namun, gagal.
“Sehubungan itu, kami menyeru agar pihak kerajaan negeri dapat campur tangan dalam isu ini,” katanya.
Selain itu, menurutnya, jumlah tapak sepanjang Ramadan ini juga berkurangan sebanyak 50 peratus sekali gus dilihat tidak memberi peluang kepada peniaga kecil menambah pendapatan. –UTUSAN