Gaji minimum di Malaysia tercorot di rantau Asia Tenggara - Utusan Malaysia

Gaji minimum di Malaysia tercorot di rantau Asia Tenggara

SHAHIR ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penetapan gaji minimum RM1,200 atau AS$287 sebulan yang masih diguna pakai ketika ini menjadikan Malaysia antara negara di kedudukan tercorot berbanding negara serantau.

Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, gaji minimum di Thailand ialah 336 Thai Baht (THB) sehari atau 13,440 THB sebulan, bersamaan AS$414 sebulan.

Di Indonesia pula, kata beliau, gaji minimum ditetapkan kerajaannya ialah AS$326 atau 4.6 juta rupiah sebulan.

“Menerusi perbandingan dibuat oleh Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) ini, jelas menunjukkan Malaysia berada dalam kedudukan antara negara tercorot di rantau ini. 

“Jika gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 sebulan, ia bersamaan AS$357, sekali gus meletakkan Malaysia antara kelompok negara dengan gaji minimum tertinggi di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak memberikan pandangan berbeza berhubung cadangan kerajaan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan yang dijangka dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) misalnya menyifatkan pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 itu tidak memanfaatkan pekerja tempatan, sebaliknya lebih ‘menguntungkan’ pekerja asing di negara ini.

Malah, Utusan Malaysia pernah melaporkan majikan di negara ini ‘paling kedekut’ di Asia Tenggara dari segi bayaran upah apabila hanya membelan­jakan 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk gaji.

Mengulas lanjut, Shahir yang juga Pengerusi Ikatan Kelantan menyarankan kerajaan supaya menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 secepat mungkin tanpa perlu menunggu hingga penghujung 2022.

Katanya, walaupun keputusan itu dianggap akan memberi kesan kepada perniagaan, impak ke atas ekonomi harus dilihat secara holistik termasuk memberi nafas baharu kepada golongan miskin B40 di Malaysia. 

“Peningkatan gaji akan meningkatkan kos operasi, namun, turut meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan domestik, sekali gus memberi impak besar kepada ekonomi tempatan kerana rakyat akan mempunyai lebihan wang untuk berbelanja.

 “Gaji minimum baharu perlu menjadi keutamaan kerajaan hari ini sebelum PRU-15. Kerajaan tidak perlu mengambil masa lama untuk membuat kajian kerana rakyat terutama golongan B40 sudah dua tahun terhimpit dek Covid-19,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.