PADANG TERAP: Lebih 100 keluarga di Kampung Pinang, Mukim Pedu di sini ketakutan selepas sekumpulan gajah menceroboh dusun dan kebun pisang mereka semalam.
Penduduk mendakwa, haiwan itu kemungkinan tinggal di Bukit Mat Gak yang terletak kira-kira dua kilometer dari kampung tersebut.
Menurut penduduk, Ahmad Hanapi Adam, 58, berkata, dia terkejut apabila melihat banyak pokok pisang dan buah-buahan rosak sedangkan tiada kejadian ribut .
“Semasa dalam perjalanan ke kandang lembu, saya mendapati banyak pokok pisang rosak dan apabila menjumpai najis gajah dan saya pasti kawasan itu diceroboh oleh haiwan tersebut.
“Bimbang dengan kejadian itu, saya turut menghubungi beberapa kawan bagi melihat kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Pinang, Mukim Pedu di sini hari ini.
Menurut Ahmad Hanapi, sebelum ini, gajah pernah menceroboh kawasan berkenaan lima tahun lalu.
“Saya yakin haiwan itu masuk kampung itu untuk mencari makanan selepas banyak kawasan habitatnya diterokai,” ujarnya.
Mohd. Sahbari Abd. Rahman, 53, pula berkata, beliau yakin kumpulan gajah itu sering berkeliaran di kawasan berkenaan selepas seekor daripadanya dijumpai mati tidak jauh dari kampung tersebut baru-baru ini.
Katanya, jarak bangkai gajah itu dari kampung berkenaan kira-kira dua kilometer sahaja.
“Bagaimanapun nasib baik gajah liar itu tidak merosakkan keseluruhan tanaman dan hanya pokok pisang sahaja menjadi sasarannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Padang Terap/Sik, Zulkifli Othman berkata, pihaknya sudah mengarahkan lima anggotanya mengawasi kawasan kampung tersebut sejak semalam.
Katanya, pihaknya akan melakukan tindakan tembak dan halau jika haiwan itu masih berada di kawasan itu supaya tidak lagi mengganggu tanaman penduduk kampung.
“Bagaimanapun, jika tindakan itu masih kurang berkesan, Unit Tindakan Gajah daripada Perhilitan akan mengambil tindakan seterusnya dengan memindahkan haiwan itu ke tempat lain.
“Pada masa sama, saya menasihatkan penduduk kampung jangan sesekali mengambil tindakan sendirian untuk menghalau gajah itu kerana akan membahayakan lagi keselamatan mereka ,” katanya ketika dihubungi semalam. –UTUSAN ONLINE