Felda lubuk dadah

Felda lubuk dadah

Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu kertas siasatan kes dadah anak VIP dikaitkan dengan Tommy Thomas dihantar ke Pejabat Peguam Negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengedar dadah kini dipercayai menjadikan tanah-tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebagai lubuk untuk urusan jual beli bahan terlarang itu kepada penagih di kawasan terbabit.

Kawasan Felda yang terlampau luas dan terletak di pedalaman memudahkan pengedar membuka laluan-laluan tikus untuk menyeludup masuk be­ka­lan dadah ke dalam tanah-tanah rancangan berkenaan, ma­lah membekalkannya juga kepada kampung-kampung ber­dekatan.

Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, sebanyak 209,138 individu dikesan terlibat dalam aktiviti penagihan dadah di seluruh negara sejak 2019 sehingga Januari lalu yang kebanyakan mereka berusia antara 14 hingga 40 tahun.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, Johor mencatatkan bi­langan penyalahgunaan dadah tertinggi iaitu 28,068 kes, manakala Pahang 27,537 kes.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kes di tanah-tanah rancangan Felda.

“Hasil kajian dilakukan, terdapat peningkatan kes di dua negeri tersebut berkemungkinan disebabkan negeri-negeri itu mempunyai jumlah tanah rancangan Felda yang banyak berbanding negeri lain.

“Faktor lokasi yang sukar dikesan dan jauh daripada orang ramai menyebabkan ahli sindiket dadah mengambil kesem­patan menggunakan lokasi ini dalam menjalankan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah secara berterusan,” katanya di sini semalam.

Bagi negeri-negeri lain, kata Ayob Khan, 24,296 kes penyalahgunaan dadah direkodkan di Sabah, Kelantan (23,734), Terengganu (18,039), Sarawak (17,763), Selangor (14,171) dan Negeri Sembilan (11,814) serta Kuala Lumpur (11,086).

“Sebanyak 8,674 kes pula di Kedah diikuti Perak (7,958), Pulau Pinang (6,712), Melaka (6,323) dan Perlis (2,964).

“Sepanjang tempoh sama, kita telah bergerak agresif apabila menangkap 163,952 penagih di seluruh negara untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998),” jelasnya.

Dalam pada itu, Ayob Khan memberitahu, daripada tangkapan itu 152,653 penagih adalah lelaki manakala 11,299 perem­puan.

Dalam mengatasi masalah penagihan ini, Ayob Khan turut meminta masyarakat terutamanya ahli keluarga untuk memainkan peranan penting dalam membendung kejadian tidak diingini ini berlaku.

Jelasnya, masyarakat seharusnya lebih peka dengan tingkah laku dan perubahan orang sekeliling terutama sekali dalam ahli keluarga.

“Ahli keluarga seharusnya menjadi orang yang pertama dapat mengesan jika terdapat antara mereka terlibat dengan dadah.

“Salah satu daripada punca golongan muda terlibat dalam penyalahgunaan dadah ialah kurang perhatian dan kasih sayang keluarga, juste­ru ibu bapa perlu lebih mengambil berat tentang keperluan anak-anak sebagai seorang manusia iaitu kasih sayang.

“Ibu bapa juga perlu sentiasa terbuka dan bertindak sebagai pendengar yang baik kepada anak-anak selain me­ngenalpasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak sama ada dari segi positif atau negatif,” ujarnya.

Ayob Khan mengingatkan agar masyarakat memberi peluang kepada mereka yang terlibat mendapatkan rawatan dan pemulihan di samping sokongan moral bukannya di­pinggirkan.

“Di JSJN kita akan terus me­ningkatkan operasi dan tangkapan di bawah tindakan Seksyen 39C ADB 1952 ke atas penagih tegar dan berulang di negeri atau daerah melalui profil penagih dari rekod berdaftar yang ada.

“Selepas itu, pemerhatian dan penilaian akan dibuat oleh JSJN, daerah ke atas penagih tegar dalam kalangan ahli keluarga yang menagih dan mempunyai masalah mental untuk memastikan mereka tidak mengalami ketagihan supaya rawatan dan pemulihan awal dapat diberi oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sekali gus boleh mengawal tindakan yang boleh mengancam nyawa dan mencederakan kepada ahli keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×