Empat beradik yatim piatu, bapa meninggal selepas ibu - Utusan Malaysia

Empat beradik yatim piatu, bapa meninggal selepas ibu

GAMBAR Nur Dini Ezrin (kanan) bersama keluarganya termasuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tidak sampai enam bulan ibu mereka meninggal dunia akibat Covid-19, empat beradik kini menjadi yatim piatu selepas bapa mereka pula meninggal dunia akibat serangan jantung, malam semalam.

Empat beradik tersebut ialah Mohd. Anuar Hakimi Mohd. Norizam, 24, Nur Dini Ezrin 15, Nur Eriza Qalesya, 13 dan Mohd. Alif Danish Mohd. Norizam, 10, yang tinggal di Taman Desa Rhu, Sikamat dekat sini. 

Nur Dini Ezrin berkata, bapanya, Mohd. Norizam Othman, 52, meninggal dunia selepas menerima rawatan kecemasan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini selepas sebelum itu mengalami muntah-muntah dan tidak boleh berdiri. 

“Sebelum abang menghantar ayah ke hospital, ayah ada mengalami semput dan meminta saya memicit belakangnya. 

“Selepas itu, ayah ada meminta saya mengambil air untuknya minum, namun, tidak lama selepas itu, ayah muntah dan terus tunduk serta tidak boleh berdiri. 

“Abang saya kemudian segera membawa ayah ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan pada pukul 10.30 malam semalam, kami dimaklumkan ayah sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd. Yusof, Sikamat di sini hari ini. 

Nur Dini memaklumkan, arwah ibunya, Zahurin Abdul Wahab, meninggal dunia akibat Covid-19 pada 23 Ogos tahun lalu pada usia 50 tahun. 

“Selepas ibu tiada, arwah ayah sering tidak berapa sihat, namun, tidak mempunyai sebarang penyakit lain,” katanya.

Sementara itu, adik kepada Allahyarham Mohd. Norizam, Norhashimah Othman, 50, berkata, selepas kematian kakak iparnya, abangnya itu sering dilihat bersedih dan tidak punya selera makan.

“Baru-baru ini, abang sering mengadu badannya tidak sihat, perutnya sering berangin, terkena asma dan sudah beberapa kali perlu mengambil gas. 

“Selain itu, dia beritahu lagi, dia sering mengah ketika membuat kerja. Selepas kematian isterinya, dia tiada selera makan kerana agak sedih,” katanya. 

Jenazah Mohd. Norizam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale, di sini selepas solat Zuhur.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN