SHAH ALAM: Kepemimpinan dalam pelbagai organisasi termasuk kerajaan seharusnya menjadikan bumiputera, Melayu dan Islam sebagai tunjang dengan mengukuhkan kedudukan bangsa tanpa meminggirkan budaya serta pandangan kaum lain.
Malah, generasi muda pada masa kini juga perlu meningkatkan kefahaman dan tidak membiarkan diri terpukau dengan slogan semata-mata, sebaliknya mesti memimpin negara dengan mengakar kepada budayanya sendiri.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemikiran dan kritikan yang dilontarkan oleh bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Allahyarham Profesor Datuk Dr. Siddiq Fadzil perlu dijadikan pedoman dalam kepemimpinan.
“Apa yang ditekankan Siddiq adalah supaya kita berakar kepada bumi Melayu, tetapi, kita juga terima kenyataan bahawa kita harus angkat martabat rakyat Malaysia dalam konsep kewarganegaraan.
“Begitu juga tentang kefahaman Islam, kalaupun tidak, dalami fahaman Islam ini apa yang berlaku seperti sekarang. Tafsirannya pelbagai, yang melampau, cara Taliban dan lain-lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pelancaran Institut Pemikiran dan Kepemimpinan Siddiq Fadzil (Kursi Siddiq Fadzil) di Universiti Selangor (Unisel) hari ini.
Pelancaran itu disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Presiden merangkap Naib Canselor Unisel, Profesor Datuk Dr. Mohammed Redzuan Othman.
Pengerusi Emeritus Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT) itu menambah, Siddiq Fadzil juga pernah mengingatkan, menjadi seorang Muslim yang baik dan orang Melayu mengakar kepada bumi Melayu menjadikan seorang warganegara Malaysia yang berjaya dan mempunyai kecintaan kemanusiaan mendalam.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegur pihak berkuasa negara ini tidak mempunyai keupayaan untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tanpa mengenepikan keutamaan terhadap Bahasa Inggeris.
“Bahasa Inggeris tetap penting, tetapi, kita tidak boleh kekalkan suasana sekarang di mana kita tidak memberi tumpuan untuk mengangkat (Bahasa Melayu).
“Ini peranan Kementerian Pendidikan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mesti kembali mengangkat kedudukan Bahasa Melayu dan mesti lebih lantang dan kuat dalam komitmen mereka,” tegasnya.
Sementara itu, Amirudin menegaskan pemikiran masyarakat Melayu ketika ini tidak seharusnya berlandaskan dengan ugutan atau ketakutan terhadap kebimbangan yang tidak wujud dalam pentadbiran negara dan kemajuan bangsa.
Jelasnya, budaya sedemikian memberikan dikotomi besar dalam kehidupan masyarakat di negara ini yang mempunyai kepelbagaian kaum.
“Kerana kita yakin corak pemikiran orang Melayu, bahasanya harus diterjemahkan dengan pemikir-pemikir hebat bukan membaca dengan konteks langgam Bahasa Inggeris, tetapi langgam dan juga corak Bahasa Melayu.
“Kita yakin inilah yang membina Melayu, bukan menakutkan orang lain, bukan mengangkat keris tiap-tiap tahun, ataupun memberikan ugutan kepada bangsa lain, kerana tanah ini tanah kita,” ujarnya.
Terdahulu, Amirudin menyerahkan peruntukan sebanyak RM1 juta sebagai permulaan penubuhan Kursi Siddiq Fadzil yang merupakan sebahagian daripada RM5 juta seperti diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2022 pada November lalu. –UTUSAN ONLINE