SHAH ALAM: Kira-kira 63,000 mangsa banjir di Klang dan Petaling akan menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) akhir bulan ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Exco Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin negeri, Ganabatirau Veraman berkata, pada masa ini pihaknya berusaha menyelesaikan masalah pertindihan permohonan sebelum penyerahan dibuat.
“Walaupun masih ramai mangsa banjir belum menerima bantuan, saya berharap penyelesaian itu dapat dilakukan pada bulan ini.
“Kita lihat pekerja bukan hanya Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang sahaja, tetapi melibatkan kakitangan daripada agensi kerajaan Persekutuan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya di sini, semalam.
Beliau berharap penduduk yang terjejas bersabar kerana usaha penyelesaian sedang dijalankan.
“Kelmarin saya difahamkan, ramai yang menunggu begitu lama untuk menerima bantuan. Bantuan ini sangat penting kepada mereka.
“Wang ini membantu keadaan mereka yang terdesak. Saya faham, sebab itu saya merayu semua pihak untuk selesaikan semua permohonan dahulu. Bukan masanya untuk terima aduan tidak berkaitan. Itu akan melewatkan segala proses,” ujarnya.
Kelmarin, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Selangor, memaklumkan hampir 14,000 mangsa banjir menerima BWI dan BSB di Kompleks Sukan Pandamaran Majlis Perbandaran Klang (MPK), Klang; Dewan Sri Kerayong, Kapar; Dewan Serbaguna PTD, Klang; Dewan MBSA Kemuning Utama, Shah Alam dan Dewan Kilat TNB, Jalan Kapar.
Dalam pada itu, Ganabatirau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning memaklumkan, beliau bersedia membantu mangsa banjir yang belum mendapat bantuan akibat keciciran dan sebagainya.
“Pertindihan ada, begitu juga keciciran. Kes ini mungkin kena buat rayuan. Saya akan bantu mereka untuk membuat rayuan dengan bukti permohonan jika ada. Di pejabat saya pun ada senarai pemohon. Jadi saya boleh bantu dari situ,” katanya. – UTUSAN











