ALOR SETAR : Kira-kira 80 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun di negeri ini disasarkan menerima suntikan vaksin dalam tempoh enam bulan bermula semalam.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, setakat ini, sebanyak 33,930 pendaftaran kanak-kanak telah diterima melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan vaksin.
“Di daerah Kuala Muda mencatatkan pendaftaran tertinggi iaitu sebanyak 10,938 manakala yang terendah di Bandar Baharu iaitu 478 sahaja pendaftaran setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Kata beliau, ada empat pusat pemberian vaksin khas (SPPV) untuk kanak-kanak memiliki tahap imuniti rendah dan komorbiditi di Kedah iaitu HSB, Hospital Sultan Abdul Halim, Hospital Kulim dan Hospital Sultanah Maliha.
“Suntikan PICKids ini juga akan dimulakan di klinik kesihatan dan pusat pemberian vaksin (PPV) ‘offside’ yang masih beroperasi di sini dan PPV ‘outreach’ ke sekolah-sekolah bagi memudahkan akses serta meningkatkan liputan suntikan,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Alimin Mustafa, 42, ibu kepada Firiyal Bostomi, 7, turut sama membawa anaknya itu untuk mendapatkan suntikan vaksin di sini hari ini.
“Kes Covid-19 agak membimbangkan sekarang, jadi, dengan penerimaan khususnya pihak anak saya, sekurang-kurangnya kami rasa lebih selamat dan memudahkan pergerakan kami tanpa perlu rasa lebih risau,” ujarnya.
Seorang kanak-kanak, Umar Achmad Rachmad Kurniawan, 11, pula berkata, dia bersama dua adiknya, Umairah, 9, dan Umaimah, 7, yang meminta untuk menerima suntikan kepada ibu bapa.
“Saya rasa akan lebih selamat untuk pergi ke sana selepas ini walaupun sebelum disuntik takut, tetapi, tidak sakit sangat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE