24 bazar Ramadan dan Aidilfitri bakal beroperasi di Kuantan - Utusan Malaysia

24 bazar Ramadan dan Aidilfitri bakal beroperasi di Kuantan

NORKAMAWATI KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 24 lokasi bazar Ramadan dan Aidilfitri membabitkan 1,800 tapak niaga dijangka beroperasi di seluruh kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini sepanjang bulan Ramadan tahun ini. 

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, permohonan mendapatkan permit bazar Ramadan dan Aidilfitri telah dibuka sejak Isnin lalu. 

“Jadi, mereka yang berminat boleh memohon dengan mencetak borang permohonan yang boleh dimuat turun melalui http://mbk.gov.my/portal/.

“Semua permohonan hendaklah diserahkan atau dihantar ke MBK sebelum pukul 12 tengahari, 28 Februari ini. Pemohon perlu menghantar permohonan lengkap ke Bahagian Penjaja MBK,” katanya di sini hari ini.

Norkamawati dalam pada itu berkata, segala kelulusan adalah tertakluk kepada kebenaran dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, namun begitu, setakat ini, garis panduan yang lengkap itu masih belum diperoleh oleh pihaknya. 

“Bagaimanapun, majlis telah mensyaratkan semua peniaga mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tujuan ini.

“Kita bukan sahaja mahu peniaga patuh SOP, tetapi, turut mengutamakan kebersihan terutama yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman. 

“Diharap semua yang terlibat itu nanti, sama ada peniaga atau pengunjung akan bersama-sama mengutamakan SOP bagi  membendung penularan wabak Covid-19,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN