SUNGAI PETANI: Lebih 1,500 penduduk di Kampung Sungai Gelam, Merbok di sini terus buntu dan tertekan apabila terpaksa berdepan dengan masalah gangguan air yang berlarutan lebih 10 tahun lalu.
Penduduk mendakwa, masalah di kawasan tersebut tidak diambil perhatian serius oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) walaupun mereka sering membuat aduan.
Seorang penduduk, Halim Long, 54, berkata, bekalan air di kawasan tersebut terputus terus sejak awal Januari lalu sehingga menyukarkan kehidupan mereka seharian.
“Selama inj gangguan bekalan air hanya berlaku pada siang hari sahaja dan kembali pulih walaupun tekanan rendah pada lewat malam hingga awal pagi.
“Kami masih mampu berjaga malam semata-mata untuk menadah air tetapi
ketiadaan langsung air pada setiap hari dalam tempoh sebulan menderitakan penduduk,” katanya semasa ditemui di sini hari ini.
Siak Masjid At-Tahir Kampung Sungai Gelam, Alias Hanafi, 60, berkata, penduduk letih terpaksa mengangkut air dari kawasan lain untuk kegunaan harian.
“Kami terpaksa berulang-alik ke Kampung Bendang Dalam yang terletak lebih kurang tiga kilometer untuk mendapat bekalan dari telaga tiub.
“Hanya telaga tiup itu satu-satunya punca bekalan air penduduk di sini berikutan air telaga di kampung ini masam kerana terletak berdekatan Sungai Merbok,” ujarnya
Penduduk, Aminah Ahmad, 60, berkata, masalah air yang kerap putus mengganggu kehidupan seharian keluarganya yang terpaksa mencari dan mengangkut air untuk kegunaan harian seperti minum, memasak, mandi dan memasak.
“Walaupun penduduk dibekalkan air dua hari sekali oleh kontraktor dilantik oleh SADA namun tidak mencukupi.
“Kami terpaksa membawa pakaian ke dobi untuk dibasuh dan membeli air minuman dengan kos tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, penduduk berharap gangguan bekalan air dapat dipulihkan segera memandangkan mereka tidak sanggup lagi menanggung beban masalah tersebut. –UTUSAN ONLINE