Tangani konflik segera antara manusia dengan harimau - Utusan Malaysia

Tangani konflik segera antara manusia dengan harimau

LIMA ekor harimau yang terdiri daripada induk dan empat anak yang berjaya dirakam perangkap kamera Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Ladang Sawit Felda Kertih 4 di Ketengah Jaya, Dungun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pertubuhan Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia mahu konflik di antara manusia dengan harimau segera ditangani berikutan  susulan tular beberapa buah video memaparkan beberapa ekor harimau merayau di pinggir hutan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Sophia Lim berkata, hal ini harus dilakukan memandangkan habitat itu semakin berkurangan dipercayai akibat kerja-kerja pembukaan hutan serta pembalakan yang dilakukan secara berleluasa.

“Harimau di negara ini kini semakin berkurang dan sekiranya tiada usaha mengekalkan hutan dilakukan, kita akan menyaksikan kepupusan haiwan ini.

“Dengan populasi harimau yang semakin berkurang, peluang untuk spesis ini membiak juga turut tipis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan komitmen kerajaan Malaysia untuk melindungi serta menambah jumlah bilangan harimau di negara ini.

Bagi mencapai hasrat itu, Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2019 telah memperuntukkan RM130 juta kepada kerajaan negeri melalui program Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT).

Sementara itu, menurut Sophia, secara semulajadinya haiwan tersebut suka hidup bersendirian dan tidak suka untuk tinggal berdekatan dengan manusia.

“Malah harimau memerlukan kawasan rayau yang luas bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan serta mencari makanannya.

“Apabila kita berhenti mengancam sumber-sumber yang diperlukan untuk ekosistem terus berfungsi dan berada dalam keadaan seimbang, kewujudan bersama antara manusia dan harimau serta hidupan liar lain dapat diuruskan dengan lebih baik,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN