Selangor bantu baiki rumah mangsa banjir - Utusan Malaysia

Selangor bantu baiki rumah mangsa banjir

RODZIAH Ismail menyembur cecair antibakteria dalam Program Bio-Remediasi Selangor Pasca Banjir di Padang Jawa, Shah Alam, Selangor semalam. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Nege­ri Selangor mempertimbang mengeluarkan sejumlah peruntukan bagi membantu membaiki rumah mangsa banjir yang rosak akibat bencana itu pada bulan lalu.

Exco Perumahan, Kesejahte­raan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata, inisiatif tersebut dipertimbang untuk dilaksanakan selepas mendapati beberapa rumah mangsa rosak teruk.

“Kita dapati terdapat kategori kerosakan rumah mangsa banjir yang perlu dibaiki dengan kadar segera,” katanya ketika ditemui dalam program Bio-Remediasi Selangor Pasca Banjir di Padang Jawa, di sini, semalam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan sejumlah 876 rumah perlu dibaik pulih dan 32 lagi perlu dibina semula setelah musnah akibat bencana banjir yang berlaku di negeri itu pada pertengahan bulan lalu.

Sehubungan itu, barisan Maj­lis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) melantik Rodziah sebagai exco bertanggungjawab meneliti masalah terbabit dan menentukan jenis bantuan yang diperlukan setiap mangsa banjir.

Rodziah memaklumkan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut bersetuju membina semula 30 buah rumah mangsa banjir, mengikut spesifikasi yang mereka tetapkan.

Dalam perutusan Tahun Baharu 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan pusat bersedia membiayai kos membina semula sesebuah rumah mangsa banjir yang musnah berjumlah RM56,000.

Selain itu, peruntukan kepada setiap mangsa banjir berjumlah RM15, 000 diberi berdasarkan kerosakan yang dialami mangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN