PRN Johor: 10 kerusi menang majoriti tipis PRU14 jadi tumpuan - Utusan Malaysia

PRN Johor: 10 kerusi menang majoriti tipis PRU14 jadi tumpuan

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Terdapat 10 kerusi daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka menjadi saingan sengit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan kemenangan wakil rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang hanya meraih undi tipis sekitar antara 98 dan 877 undi.

Antara kerusi berkenaan, enam dimenangi Barisan Nasional (BN) manakala empat lagi Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu menggunakan logo PKR dan DUN berkenaan adalah Buloh Kasap, Pemanis, Sungai Balang, Semerah, Parit Raja, Senggarang, Machap, Layang-Layang, Paloh dan Kukup.

Misalnya DUN Semerah yang dimenangi wakil PKR, Khuzzan Abu Bakar hanya memiliki kelebihan 98 undi dalam pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd. Ismail Roslan (12,521 undi) dan calon Pas, Adnan Othman (4,314 undi).

Kedudukan itu secara tidak langsung menjadi penentu kepada kedudukan mana-mana parti bertanding apabila mereka memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi bagi mendapat majoriti mudah daripada 56 DUN yang dipertandingkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, BN dan UMNO dilihat setakat ini memiliki kelebihan kerana kekuatan akar umbi dan pengundi setia khususnya dalam penduduk luar bandar dan orang Melayu.

Katanya, parti tersebut boleh mengulangi kejayaan PRN Melaka sekiranya mengambil kira faktor peratusan keluar mengundi di samping rekod pencapaian BN selama ini.

“BN boleh menang dalam PRN Johor berbanding PH dan Perikatan Nasional (PN), namun segalanya bergantung kehadiran pengundi muda dan pengundi luar sama ada ingin menyokong BN atau sebaliknya,” katanya.

Kelmarin, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan pembubaran DUN Johor bagi membolehkan PRN diadakan selepas baginda menerima menghadap Menteri Besar, Datuk HasnI Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor semalam.

PRN Johor terpaksa diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan pula 27 kerusi daripada 56 DUN.

Walau bagaimanapun, Mazlan menjelaskan, kehadiran pengundi muda termasuk berusia 18 tahun bakal menjadi penentu pembentukan kerajaan negeri Johor apabila jumlah peratusan keluar mengundi membabitkan kumpulan itu boleh dipengaruhi sentimen isu-isu semasa.

Beliau menjelaskan, antara isu tersebut adalah pengurusan banjir dan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

“Kalau ikutkan pengundi muda tidak akan keluar mengundi kerana kebanyakan mereka tidak minat dan enggan mengambil tahu perkembangan politik. Tetapi jika ada gelombang yang boleh mempengaruhi mereka, ia boleh menyebabkan mereka berminat untuk keluar mengundi.

“Perkara ini boleh dilihat seperti PRU-14 apabila kejatuhan BN akibat penolakan pengundi muda yang cenderung kepada PH selepas wujudnya gelombang yang dicetuskan oleh pembangkang ketika itu,” katanya.

Sebaliknya bagi Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, BN mampu meraih kemenangan dua pertiga atau 37 kerusi daripada 56 DUN dipertandingkan dalam pilihan raya berkenaan.

Katanya, faktor itu mengambil kira ‘mood’ rakyat Johor dalam menilai dua kali pembentukan kerajaan dan tiga pertukaran Menteri Besar selepas PRU-14.

Katanya lagi, rakyat kini sudah serik dengan kegagalan pentadbiran PH selama 22 bulan apabila tidak menunaikan janji manifesto pilihan raya dan masih mengharapkan kemakmuran kemajuan dikecapi sepanjang 60 tahun BN memerintah.

“Malah kegagalan PN mentadbir di persekutuan dan negeri walaupun dalam kerajaan ada wakil BN, namun rakyat melihat BN masih memiliki batasan apabila membabitkan Pas dan Bersatu yang gagal mentadbir dengan baik malah tidak memiliki pengalaman.

“Kemenangan PRN Melaka dan Sarawak menunjukkan isyarat bahawa BN telah kembali di hati rakyat yang dahagakan pembangunan selepas keruntuhan ekonomi di bawah pemerintahan PH dan PN,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×