Penduduk kecewa capaian internet lemah - Utusan Malaysia

Penduduk kecewa capaian internet lemah

NOR Arzila Abd. Rashid (kiri) dan Sariah Ahmad (kanan) memerhatikan Muhammad Farith Iskandar Farizul menyiapkan kerja-kerja sekolah di bawah pokok kelapa sawit bagi mendapatkan liputan internet yang lancar di Kampung Permatang Kerat Telunjuk, Bandar Baharu, Kulim, Kedah. – UTUSAN/AZAHAR HASHIM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Lebih 2,000 terutamanya pelajar sekolah di Kampung Permatang Kerat Telunjuk di sini menghadapi masalah melakukan rujukan untuk menyiapkan kerja-kerja sekolah berikutan capaian internet yang lemah.

Sebelum ini, anak-anak mereka juga kecewa apabila se­ring ketinggalan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kerana kesukaran mendapatkan isyarat yang lancar.

Selain itu, penduduk yang menggunakan intenet untuk melakukan aktiviti dan tugasan secara dalam talian juga terkesan dengan masalah yang sama.

Seorang penduduk, Nor Arzila Abd. Rashid, 36, berkata, anaknya Muhammad Farith Iskandar Farizul, 13, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SKM) Lubuk Buntar di sini terpaksa melakukan kerja sekolah di luar rumah kerana mencari lokasi untuk mendapat liputan internet lebih baik.

Katanya, pelajar-pelajar di kampung itu gembira apabila pembelajaran secara bersemuka di sekolah bermula Ahad lalu kerana mereka sebelum ini se­ring ketinggalan dalam pelajaran ketika PdPR.

“Namun anak saya masih menghadapi masalah untuk melakukan tugasan sekolah, mengulangkaji pelajaran dan membuat rujukan bagi mencari maklumat tambahan menerusi internet.

“Saya yang berada di kawasan berdekatan pekan pun turut menghadapi masalah capaian internet lemah. Apatah lagi penduduk yang tinggal di kawasan yang jauh dari pekan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Difahamkan lebih 50 pelajar dari SMK Lubuk Buntar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Kerat Telunjuk tinggal di sekitar kampung tersebut.

Seorang lagi penduduk, Siti Nor Mat, 36, berkata, liputan internet di kampung ini agak lancar pada lewat malam sahaja.

Bagaimanapun, kata beliau, anaknya, Nur Qaseh Alia Abdullah, 11, tidak sanggup menunggu sehingga lewat malam untuk mengulang kaji pelajaran kerana perlu tidur awal untuk ke sekolah keesokannya.

“Pada waktu-waktu tertentu, talian internet juga tetap lemah walaupun lewat malam,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Permatang Kerat Telunjuk, Sariah Ahmad, 63, berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada ibu bapa mengenai masalah capaian internet yang lemah di kampung tersebut.

“Ini kerana terdapat kalangan ibu bapa yang terpaksa membawa anak mereka melakukan tugasan sekolah ke kawasan Plaza Tol Bandar Baharu yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari rumah mereka untuk mendapatkan liputan lebih lancar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN