Banjir kilat di beberapa kawasan Putrajaya, Bomba sahkan keadaan terkawal

Banjir kilat di beberapa kawasan Putrajaya, Bomba sahkan keadaan terkawal

KEADAAN sekitar Putrajaya yang berlaku banjir kilat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya mengesahkan kejadian air bertakung dan kawasan berisiko banjir susulan hujan lebat yang melanda sekitar Wilayah Persekutuan ini petang tadi berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM W.P. Putrajaya, Muhamad Haziq Hazmi berkata, pihaknya menerima beberapa aduan berkaitan situasi itu dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 serta BBP Presint 14 segera melaksanakan rondaan dan pemantauan di beberapa lokasi tumpuan.

Katanya, antara lokasi yang dipantau termasuk kawasan Perumahan Presint 9 Fasa 5 dan 6, Tunnel Presint 11, Apartmen PPAM Seruling Presint 5, Pusat Persidangan Antarabangsa (PICC) serta sekitar Presint 16 dan Presint 17.

“Pasukan turut menerima laporan berkaitan kenaikan air di kawasan sekitar Alamanda Mall dan pemantauan segera telah dilaksanakan bagi memastikan keadaan terkawal serta tidak melibatkan sebarang mangsa.

“Pemeriksaan turut dilakukan ke atas sistem perparitan dan paras air di kawasan berisiko berlakunya takungan air bagi mengelakkan kejadian banjir kilat. Pemantauan berterusan juga dilaksanakan melalui sistem CCTV serta kerjasama bersama Putrajaya Command Centre (PPj),” katanya hari ini.

ANGGOTA Bomba memeriksa kawasan yang dilanda banjir kilat di Putrajaya.

Muhamad Haziq berkata, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Menurut beliau, pemantauan awal dan rondaan berterusan dilaksanakan bagi memastikan sebarang risiko banjir kilat dapat dikenal pasti dengan segera serta tindakan pantas dapat diambil oleh pasukan bomba demi keselamatan orang awam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau peningkatan paras air di kawasan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN