Penduduk Kampung Paya Garuk kecewa masih belum dapat pindah - Utusan Malaysia

Penduduk Kampung Paya Garuk kecewa masih belum dapat pindah

MOHAMED Melan menunjukkan kesan rekahan di dinding rumahnya berpunca dari banjir pertengahan Disember tahun lalu di Kampung Paya Garuk, Jerantut, Pahang. – UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Meskipun sudah menerima geran sejak 2008, penduduk Kampung Paya Garuk di sini yang terjejas akibat musibah banjir masih tidak dapat berpindah ke penempatan baharu yang disediakan.

Ia berikutan laluan ke lokasi penempatan itu belum siap dibina sekali gus menyukarkan penduduk yang menerima geran untuk membina rumah baharu di atas tanah berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk, Mohamad Melan, 67, berkata, tanpa pembinaan laluan untuk masuk ke kawasan penempatan baharu itu, penduduk tidak dapat ma­suk ke penempatan tersebut dan melakukan kerja-kerja pembinaan rumah.

“Kami sudah dapat geran sejak 2008, namun tidak dapat masuk ke penempatan itu kerana laluan masuk belum siap. Kalau sudah ada laluan, bolehlah kami masuk ke tapak itu untuk membina rumah sedikit demi sedikit.

“Setakat ini kami lihat laluan itu hanya siap separuh sa ­haja. Kami harap ia dapat disiap­kan sepenuhnya segera memandang­kan ia sudah lama tertangguh,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohamed, dia dan sebahagian penduduk di kampung itu sudah tidak sanggup lagi berdepan dengan banjir yang kerap kali berlaku sejak dia mula menetap di situ bermula 1988.

“Pada tahun lalu, dua kali banjir melanda kampung kami dan menenggelamkan hampir keseluruhan rumah saya. Setiap kali rumah ditenggelami air, kami alami banyak kerugian kerana perlu membaik pulih banyak kerosakan.

“Saya harap pihak terlibat dapat segera membina laluan tersebut yang tergendala sekian lama supaya kami dapat membina rumah yang lebih selesa tanpa perlu berasa bimbang setiap kali tiba musim tengkujuh,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Jasmizan Mohamad, 29, berkata, setiap kali banjir, dia terpaksa menghabiskan wang ribuan ringgit untuk menggantikan pintu rumah, tingkap dan wayar elektrik yang rosak.

“Setiap kali selepas banjir, kami perlu membaiki wayar elektrik rumah yang rosak dan itu sahaja menelan belanja sekitar RM450 untuk sebuah rumah. Selain itu, saya juga bimbang dengan keadaan dinding rumah yang sedikit merekah setiap kali ditenggelami air.

“Walaupun kami memiliki rumah rakit untuk persediaan banjir, ia hanya mampu menyelamatkan barangan kelengkapan di dalam rumah. Kami masih perlu mengeluarkan wang untuk membaiki rumah yang rosak pula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN