Pelabuhan Kuantan lonjak kapasiti pengendalian kargo 20 juta tan metrik setahun - Utusan Malaysia

Pelabuhan Kuantan lonjak kapasiti pengendalian kargo 20 juta tan metrik setahun

WEE Ka Siong (tengah) melihat strategi pelan pembangunan naik taraf Pelabuhan Kuantan bagi fasa kedua dan ketiga yang bakal dilaksanakan secara berperingkat di Pelabuhan Kuantan, di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerja-kerja pembesaran Pelabuhan Kuantan di Tanjung Gelang di sini yang bakal memasuki fasa kedua dijangka melonjakkan pertambahan kapasiti pengendalian kargo sehingga 20 juta tan metrik setahun.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kerja-kerja pembesaran pelabuhan yang diterajui Lembaga Pelabuhan Kuantan (LPK) dan Konsortium Pelabuhan Kuantan (KPC) itu akan dibuat secara berperingkat.

Menurutnya, secara keseluruhannya Pelabuhan Kuantan mampu menampung sehingga 50 juta tan metrik kargo setahun sejak pembinaan Terminal Laut Dalam (NDWT) fasa pertama, pada 2018.

“Bagi projek fasa kedua kerja naik taraf pelabuhan ini dilakukan dengan penambahan dermaga baharu sepanjang satu kilometer di kawasan pelabuhan laut dalam sedia ada. Ia akan dimulakan sebaik sahaja kerajaan Pahang memuktamadkan perjanjian pelaburan dengan syarikat dari luar negara.

“Lebih memberansangkan apabila pelan fasa ketiga yang mampu menaikkan lagi jumlah kapasiti yang sama melalui kerja naik taraf pelabuhan membabitkan pembinaan benteng pemecah ombak yang baharu bagi memberi lebih keyakinan kepada pelabur atau syarikat perkapalan memilih Pelabuhan Kuantan sebagai lokasi persinggahan mereka.

“Selepas siap semua kerja naik taraf ini secara berfasa, Pelabuhan Kuantan mempunyai kemampuan menguruskan pengendalian kargo sehingga 70 hingga 90 juta tan kargo setahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Pelabuhan Kuantan dan seterusnya melancarkan Polisi Hijau Pelabuhan Kuantan 2022-2030 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, pengendalian kargo di Pelabuhan Kuantan dijangka kembali meningkat dengan sasaran lima peratus tahun ini daripada 22.9 juta tan yang direkodkan tahun lalu.

Katanya, pengendalian kargo di pelabuhan itu terjejas tahun lalu dengan penurunan sebanyak 16.2 peratus akibat pandemik Covid-19 berbanding 2020 sebanyak 27.3 juta tan yang mana ia meningkat 4.5 peratus daripada 2019.

“Kemerosotan tahun lalu berkemungkinan berkait rapat dengan isu penularan Covid-19 yang menyaksikan banyak sektor ekonomi terkesan di seluruh dunia termasuklah aktiviti perkapalan dan kargo.

“Namun, Pelabuhan Kuantan mempunyai potensi yang cukup besar kerana pembangunan pesat kawasan sekitarnya termasuk kewujudan industri berskala besar di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) yang menjadi faktor penarikan pelabur luar.

“Di samping itu juga, kita melihat kepada peluang yang ada dan sama-sama kita berdoa supaya projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) siap mengikut jadual pada 2026 kerana ia juga akan menjadi pencetus kepada kepentingan fungsi yang bakal dimainkan pelabuhan ini,” katanya. UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN