PADANG BESAR: Kisah Yusra Asna Ruslin, 7, yang langsung tidak kekok membantu bapanya menebar roti canai seperti disiarkan Utusan Malaysia Jumaat lalu turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang mengunjungi kanak-kanak tersebut di kedai makan dan minuman Uwita Enterprise di Beseri di sini, semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yusra Asna berkata, ketika kunjungan Menteri Besar, dia sedang sibuk menebar roti canai dan cukup teruja ketika mengetahui kedatangan Azlan.
“Masa itu, saya sedang menebar roti canai, tapi hairan apabila orang ramai mula mengambil gambar. Rupa-rupanya Menteri Besar memerhati dan memesan roti canai. Kemudian barulah kakak dan ayah beritahu orang yang datang itu ialah Menteri Besar. Saya sangat seronok dapat menyediakan roti canai kepada mereka,” katanya.
Meskipun baru berusia tujuh tahun, Yusra Asna cekap menebar roti canai di gerai mereka di persimpangan lampu isyarat Balai Baru, Beseri, di sini sekali gus menarik perhatian pelanggan yang menjamu selera di kedai makan tersebut.
Sementara itu, bapa Yusra Asna, Ruslin Meli,45, berkata, dia tidak menyangka sama sekali menerima kunjungan Menteri Besar Perlis.
“Keadaan jadi agak meriah semalam apabila Menteri Besar dan isteri datang, kebetulan ada pihak media juga datang untuk membuat liputan mengenai anak saya selain kehadiran guru besar sekolahnya yang turut menjamu selera di sini,” katanya.
Ruslin berkata, Azlan sempat memaklumkan keterujaannya melihat sendiri bagaimana seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang bangun seawal pukul 4 pagi untuk membantu ibu bapa menebar roti canai.
Dalam pada itu, Azlan yang memuat naik status di Facebooknya berkata, dia menghabiskan tiga biji roti canai garing kurang minyak yang menjadi kegemarannya ketika mengunjung gerai berkenaan.
“Memang hebat kemahiran adik Yusra yang baru berumur tujuh tahun (menebar roti canai) dan kebetulan ada pula pihak media membuat liputan di situ dan ada rakan-rakan dari Padang Besar yang sedang menjamu selera, jadi saya sertai mereka,” katanya.










