Malaysia komited usaha pelucutan senjata nuklear sejagat - Utusan Malaysia

Malaysia komited usaha pelucutan senjata nuklear sejagat

WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan pendirian untuk terus menyokong teguh Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) yang kini genap setahun dikuatkuasakan.

Malahan, Malaysia percaya bahawa triti sejagat tersebut akan mengukuhkan lagi norma bahawa ancaman senjata nuklear tidak boleh diterima sama sekali oleh masyarakat antarabangsa.

“Justeru, Malaysia mengulangi penegasan sekali lagi segala komitmen tidak berbelah bahagi ke atas usaha pelucutan senjata nuklear sejagat,” kata kenyataan Wisma Putra di sini hari ini.

Malaysia menandatangani TPNW sebaik sahaja dibuka pada 20 September 2017 dan meratifikasi pada 30 September 2020, sekali gus menjadi negara pihak ke-46 kepada triti tersebut.

Sehingga kini, sebanyak 86 buah negara sudah menandatangani, namun daripada jumlah itu, cuma 59 buah negara meratifikasi triti yang kemudian berkuat kuasa pada 22 Januari 2021.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Malaysia akan terus bekerjasama secara erat dengan negara sahabat yang lain untuk merealisasikan matlamat dunia bebas ancaman senjata itu.

“Triti ini penting diterima pakai semua negara dengan segera sebagai manifestasi komitmen secara umum dan lengkap serta penghapusan menyeluruh,” tegas kenyataan tersebut lagi.

Sehubungan itu, bersempena ulang tahun pertama penguatkuasaan TPNW, Malaysia akan terus menggalakkan negara belum memeterainya agar mempercepatkan proses berkenaan.

Langkah itu, ujar Wisma Putra, wajar kerana triti ini merupakan surat cara antarabangsa yang pertama dalam pelaksanaan pengharaman segala aktiviti berkaitan dengan senjata nuklear.

Ia bahkan dirangka secara komprehensif yang meliputi aspek pembangunan, pengujian, pembuatan, perolehan, pemilikan, penyimpanan, penempatan dan penggunaan senjata tersebut.

Keberkesanan TPNW terbukti apabila ia diluluskan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu melibatkan 122 negara dengan hanya satu yang menentang dan satu lagi berkecuali. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN