SEGAMAT: Lebih 300 buah sekolah di seluruh negara dikenal pasti terjejas akibat banjir dengan sebahagiannya telah dibuka bagi sesi persekolahan penggal ketiga bermula semalam untuk kumpulan A.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, sekolah yang masih belum dibuka itu disebabkan masih digenangi air, beroperasi sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) atau masih dalam proses pembersihan.
“Sebahagian sekolah bermula hari ini di negeri kumpulan A dan ada beberapa yang belum dapat dibuka dalam kumpulan itu selain di Sabah, Pahang dan Selangor.
“Maklumat mengenai status sekolah ini akan dikemas kini oleh pejabat pendidikan daerah dari masa ke semasa bagi menentukan pembukaan sekolah,” katanya dalam tinjauan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh di sini, semalam.
Menurut Mohamad, sekolah yang tidak dibuka mengikut jadual asal dijangka memulakan sesi persekolahan pada minggu hadapan.
Katanya lagi, lebih 14,000 pelajar terjejas dibenarkan untuk berpakaian biasa dan Kementerian Pendidikan turut memberi jaminan bekalan buku teks mencukupi bagi menggantikan lebih 260,000 buku teks yang rosak akibat banjir.
Beliau menjelaskan, kementerian tidak akan membebankan pelajar yang tidak dapat menyertai sesi persekolahan dan memberi ruang kepada mereka untuk berhadapan dengan proses pasca banjir sebelum hadir semula ke sekolah selepas semuanya selesai.
Beliau turut berharap agar semua pihak dapat membantu kerja pembersihan sekolah supaya sesi persekolahan dapat dijalankan mengikut perancangan. – UTUSAN ONLINE










