Kerap banjir, singkat hayat tapak pelupusan - Utusan Malaysia

Kerap banjir, singkat hayat tapak pelupusan

PENDUDUK, Awang Umar, 54, mengasingkan barang yang rosak selepas kejadian banjir di Kampung Lanchang, Merlimau, Jasin, Melaka. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kekerapan bencana banjir yang melanda sesebuah negeri bukan sahaja mendatangkan kerugian harta benda penduduk. Ia juga berpotensi menjejaskan hayat sesebuah tapak pelupusan sampah.

Mengambil contoh situasi di Melaka. Kondisi Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di sini boleh dianggap ‘kritikal’ memandangkan ia merupakan satu-satunya lokasi pembuangan sisa buangan dari tiga daerah di negeri ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Khairuladha Ab. Mutalib berkata, terkini tapak pelupusan berkeluasan kira-kira 26 hektar itu sudah memasuki fasa ketiga iaitu fasa terakhir yang sepatutnya penuh pada September 2024.

Jelasnya, kejadian bah merupakan antara faktor yang me­nyumbang kepada lebihan jumlah kutipan bulanan, yang mana ia mampu memendekkan tempoh masa tapak pelupusan tersebut.

“Kalau ikut rekaan tapak pelupusan ini, maksimum kemasukan sampah adalah 800 tan sehari. Tapi trend kemasukan sampah makin meningkat, boleh mencecah 1,000 tan sehari disebabkan beberapa faktor.

KHAIRULADHA ABDUL MUTALIB

“Banjir merupakan faktor bermusim yang turut menyumbang kepada peningkatan tersebut. Saya beri contoh pada Mei 2021 Melaka dilanda banjir terburuk, jumlah kutipan sisa banjir yang dikutip dari 18 sehingga 26 Mei adalah 642.53 tan.

“Purata sehari ia menyumbang lebihan sisa hampir 71.4 tan. Faktor lain yang turut menyumbang adalah kemasukan sampah swasta contohnya dari hotel, pusat membeli-belah dan industri.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut meningkatkan jumlah kutipan harian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Graha Maju di sini.

Pada Februari 2021, Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) mengumumkan usaha merealisasikan kaedah pelupusan sisa pepejal kepada tenaga (WTE) di negeri ini.

Usaha itu dilaksanakan dalam satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PTHM bersama Transformasi Padu Holding Sdn. Bhd.

Terdahulu, pada Julai 2020, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, projek pembinaan Loji WTE atau insinerator di Melaka dijangka siap pada 2023.

Katanya, ia bakal dibina di atas tanah seluas 9.5 ekar di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN