Kekurangan bekalan air jejaskan tanaman padi pulut  - Utusan Malaysia

Kekurangan bekalan air jejaskan tanaman padi pulut 

HASLINA Abdul Hamid (duduk, kiri) melihat keadaan padi pulut yang kekeringan selepas tidak mendapat bekalan air yang cukup di Kampung Baru, Ulu Melaka, Langkawi hari ini. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengatasi segera masalah bekalan air yang tidak mencukupi di kawasan projek rintis penanaman padi pulut di Kampung Baru, Ulu Melaka di sini.

Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, seramai 320 pesawah menyertai projek rintis tanaman tersebut di kawasan seluas 540 hektar itu sejak 2019.

Bagaimanapun, katanya, pada masa ini, seluas 38 hektar tanaman padi pulut itu tidak dapat diselamatkan kerana sudah terlalu kering berikutan masalah kekurangan bekalan air di kawasan tersebut.

Katanya, kawasan tanaman padi pulut yang terjejas itu membabitkan seramai 15 pesawah.

“Masalah bekalan air tidak mencukupi di kawasan tersebut berlaku pada musim kedua 2021 dan hasil padi pulut tersebut dijangka dapat dituai pada Mac nanti.

“MAFI akan mengambil beberapa tindakan segera untuk memastikan bekalan air sampai dan mencukupi di plot-plot yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi libat urus bersama peserta projek rintis penanaman padi pulut di Kampung Baru, Ulu Melaka, di sini hari ini.

Haslina memberitahu, antara tindakan segera yang akan diambil adalah menyambung paip serta mengepam air ke kawasan yang menghadapi masalah kekurangan bekalan air bermula pada minggu ini.

“Kerja-kerja menyambung paip dan mengepam air itu akan dilakukan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau menambah, pihaknya mendapat cadangan daripada pesawah di kawasan yang terjejas untuk melaksanakan projek tersebut dengan satu musim sahaja setahun berbanding dua musim sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, kawasan yang tidak menghadapi masalah bekalan air pula akan kekal meneruskan penanaman padi pulut sebanyak dua musim setahun.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa MAFI segera menyiasat projek perintis penanaman padi pulut di Pulau Langkawi yang menimbulkan pelbagai masalah kepada pesawah yang menyertai projek tersebut.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya mendapat aduan daripada pesawah terlibat berhubung masalah yang berpunca daripada kelemahan pengurusan projek tersebut telah menyebabkan mereka mengalami kemerosotan hasil pendapatan dan kerugian yang besar. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya