PETALING JAYA: Tema ‘Memperluas Transformasi Digital Kastam Melalui Pemerkasaan Budaya dan Ekosistem Data’ sejajar dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan ranking “Ease of Doing Business” bagi Malaysia yang seterusnya dapat memangkin pelaburan asing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau percaya bahawa suntikan transformasi digital melalui pemerkasaan budaya dan ekosistem data dalam urusan perkhidmatan dan operasi JKDM mampu memperkasa prestasi jabatan tersebut sekali gus mencorak Malaysia sebagai sebuah negara maju yang kompetitif dan berdaya saing.
“Tema ini amat relevan dengan situasi semasa dan bertepatan dengan usaha memodenkan perkhidmatan serta operasi JKDM ke arah mencorak persekitaran perniagaan yang kondusif.
“Ini sekali gus memupuk keyakinan dalam kalangan peniaga dan pelabur sama ada di lapangan domestik mahupun antarabangsa,” katanya ketika berucap dalam Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 tahun 2021 pejabat JKDM di Kelana Jaya di sini hari ini.
Malah, menurut Ismail Sabri, perkembangan teknologi digital khususnya dalam sektor perkongsian data serta maklumat merupakan platform yang penting dan telah diaplikasikan secara meluas dalam meneruskan kelangsungan perkhidmatan awam terutamanya dalam mendepani pandemik Covid- 19.
Ujar beliau, hasrat menggerakkan transformasi digital dalam perkhidmatan awam ini juga bukanlah suatu perkara baharu yang asing malah telah digariskan dengan jelas dalam Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021–2025 ke arah memartabatkan ketelusan dan memperkasa kecekapan dalam urusan perkhidmatan.
“Ia juga telah termaktub dalam Tujuh Teras Strategik Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta turut dirangkum dalam memeta halatuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang telah saya lancarkan pada September lepas.
“Oleh itu, JKDM perlu memastikan segenap warga Kastam celik digital dan sentiasa bersedia untuk mengadaptasi transformasi teknologi semasa dalam membina serta membudayakan ekosistem data,” ujar beliau.- UTUSAN ONLINE