Jalan bertar di Kelantan ada kolam, akok berkedut

Jalan di Kelantan ada kolam, akok berkedut

KEADAAN Jalan Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu yang berlubang, tidak rata dan beralun sehingga digelar ‘akok berkedut’. - FOTO/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JALAN bertar berlubang, pecah dan bertakung air, tak ubah se­perti kolam.

Itulah rupa bentuk jalan raya di Kelantan yang banyak pecah-pecah dan tampalan yang tidak rata, malah permukaan jalan akan jadi lebih teruk jika hujan lebat berterusan dalam tempoh yang agak lama.

Tidak dinafikan, pihak berkuasa segera menampal jalan yang rosak dan berlopak. Namun, akibat tidak diturap dengan sempurna, permukaan jalan terbabit menjadi tidak rata dan bertompok-tompok sehingga mirip pula makanan tradisi iaitu ‘akok berkedut’.

Malah difahamkan, ada antara jalan terbabit kembali rosak hanya selepas beberapa ming­gu permukaan yang berlubang ditampal atau seluruh kawasan itu diturap baharu.

Ketika tinjauan Utusan Malaysia sepanjang minggu ini, antara jalan utama yang perlu diberi perhatian serius ialah Jalan Raja Perempuan Zainab II terutama di sekitar simpang tiga menghala ke Demit, Jalan Kubang Kerian – Pasir Hor dan Jalan Pasir Tumboh – Ketereh.

Turut rosak teruk biarpun sudah berkali-kali ditampal atau diturap baharu ialah di sepanjang Jalan Maulana Khurasan iaitu laluan utama ke pusat beli belah Aeon Mall Kota Bharu serta Terminal Bas Lembah Sireh.

Seorang petugas Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian yang enggan dikenali berkata, Jalan Raja Pe­rempuan Zainab II perlu diberi perhatian sewajarnya kerana me­rupakan laluan utama ke HUSM.

“Perkara ini sudah lama saya perhatikan. Setiap kali hujan le­bat atau musim bah, jalan ini terutama sekitar persimpangan lampu isyarat dari Demit menuju ke HUSM selalu rosak, berlubang-lubang dan penuh kolam.

“Tidak dinafikan pihak ber­kuasa tempatan (PBT) cepat-cepat menampal jalan berlubang tersebut. Namun kerja mereka ibarat ‘melepaskan batuk di tang­ga’ kerana tidak sampai se­minggu, jalan rosak lagi.

“Lama-kelamaan jalan dah macam akok berkedut. Setiap kali melaluinya dengan laju, ambulans sampai terlompat-lompat. Akibatnya, pesakit yang kita bawa makin sakit, petugas yang tidak sakit pun boleh jatuh sakit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, peniaga, Mohd. Faizul Rohban Ahmad, 37, berkata, fenomena jalan ‘berkolam’ dan ‘akok berkedut’ biasanya berlaku di kebanyakan lokasi tum­puan ramai termasuk berham­piran kedainya yang terletak di bulatan Pasir Pekan, Tumpat.

“Saya beri contoh Jalan Pasir Pekan – Kota Kubang Labu, setiap tahun bertakung dengan air setiap kali hujan lebat tanpa ada usaha untuk mengatasinya sedangkan ini jalan utama menghubungkan Kota Bharu dengan Tumpat.

“Jalan masuk ke Aeon Mall pula saya tengok tidak pernah cantik, ada sahaja lubang walaupun sebelah kediaman rasmi Menteri Besar. Kalau naik kereta kecil macam Perodua Viva, boleh bergegar otak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.