PETALING JAYA: Kerenah birokrasi dalam arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20 ketika terjadinya bencana alam perlu dihapuskan dengan setiap agensi kerajaan wajar diberikan ruang rasional dalam melakukan sebarang tindakan yang dirasakan perlu pada kadar segera tanpa menunggu arahan pihak selanjutnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Dasar Awam Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Mohd. Rozaimy Ridzuan berkata, walaupun arahan itu menggariskan pengurusan bencana lebih menyeluruh, sebaliknya agensi kerajaan harus diberikan pertimbangan fleksibiliti mengikut kapasiti masing-masing ketika negara menghadapi suasana getir.
Jelasnya, amalan birokrasi dalam agensi kerajaan perlu ditangani kerana nyawa rakyat adalah lebih penting daripada segala-galanya khususnya ketika mereka dilanda musibah bencana seperti banjir besar di Selangor, baru-baru ini.
“Arahan MKN 20 menggariskan mekanisme pengurusan bencana lebih menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas dengan setiap agensi bertanggungjawab melaksanakan peranan selaras dengan arahan ini. Ia mementingkan koordinasi agar penggemblengan sumber dapat disepadukan bagi mengelakkan pembaziran, konflik serta pertindihan.
“Walau bagaimanapun, agensi-agensi kerajaan perlu diberikan fleksibiliti mengikut kapasiti masing-masing. Kerenah birokrasi perlu dilumpuhkan kerana nyawa manusia lebih penting daripada segalanya. Dalam erti kata lain, koordinasi itu satu proses pengurusan penting namun perlu disesuaikan mengikut tahap keseriusan bencana dan keadaan mendesak berbeza,” katanya.
Sebelum ini pelbagai pihak mempertikaikan pengurusan bencana banjir ekoran hujan luar biasa di Selangor terutama di Hulu Langat dan Taman Sri Muda di Shah Alam pada 17 Disember tahun lalu.
Kejadian dalam tempoh seminggu itu mencetuskan lagi kegusaran dan pertikaian orang
ramai yang masih trauma dengan pengalaman kediaman dan harta benda rosak sekelip mata.
Dalam pada itu, Mohd. Rozaimy berkata, penambahbaikan perlu dilakukan terhadap aspek pelaksanaan dasar-dasar sedia ada dengan menuntut semua agensi pelaksana untuk benar-benar memahami fungsi yang perlu digerakkan bagi memastikan kecekapan pengurusan bencana.
Beliau menambah, sekalipun negara memiliki dasar pengurusan banjir, namun belum cukup untuk memberi keselamatan rakyat pada tahap optimum kerana polisi itu berkaitan dengan aspek perancangan bandar dan perubahan iklim.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, semua pihak perlu mengambil perhatian terhadap impak negatif pasca banjir khususnya berkaitan dengan aspek kesihatan dan keselamatan rakyat.
Katanya, justeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan Kementerian Kesihatan amat diperlukan agar beban virus Covid-19 pada ketika ini tidak boleh ditambah lagi dengan beban untuk hadapi penyakit berjangkit yang dibawa oleh banjir.
“Langkah proaktif perlu diambil dengan segera bagi mengelakkan berlakunya sebarang kes jangkit berjangkit di musim banjir ini kerana ia boleh membawa implikasi yang lebih buruk kepada semua pihak yang terlibat.
“Melalui kerjasama semua pihak, sebarang impak negatif yang boleh dibawa daripada banjir khususnya yang berkaitan dengan aspek kesihatan dan keselamatan boleh dikawal selia dan dibendung dengan baik,” katanya. -UTUSAN ONLINE










