PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju mempertimbangkan bantuan berbentuk geran khusus bagi meringankan beban ditanggung usahawan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir selain bantuan kewangan yang disediakan agensi-agensi kerajaan lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dipersetujui secara prinsip menerusi mesyuarat Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dipengerusikan beliau hari ini bagi membincangkan secara terperinci mengenai impak banjir ke atas Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk peniaga informal.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), kementerian dan agensi berkaitan serta Dewan-Dewan Perniagaan bagi memperhalusi cadangan-cadangan yang dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan.
“Lawatan susulan ke lokasi yang dikenal pasti akan diadakan bagi memastikan program bantuan banjir PMKS sampai ke kumpulan sasaran.
“Insya-Allah, saya akan mengumumkan inisiatif ini setelah diperhalusi dan dimuktamadkan. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini memperkenalkan pakej Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion merangkumi bantuan tunai, pembaikan rumah dan fasiliti awam.
Beliau berkata, menerusi mesyuarat EAC itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia (MAICCI) serta MEDAC berkongsi impak akibat banjir.
“Mereka turut mencadangkan beberapa tindakan bagi membolehkan PMKS bangkit semula.
“Mesyuarat turut mendengar keluhan daripada dua orang usahawan PMKS dari Taman Sri Muda, Shah Alam dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang terjejas teruk bagi mendapatkan gambaran sebenar kerugian, kesan dan masalah yang mereka hadapi,” katanya. -UTUSAN ONLINE