KAMPAR: Seramai 500 penduduk Kampung Tersusun Jeram Mengkuang dekat sini meminta tanah bekas lombong yang terbiar seluas kira-kira 3,000 hektar di kampung mereka diagih-agihkan kepada bekas pekerja lombong untuk dimajukan dengan tanaman pertanian.
Penduduk kesal kerana tanah tersebut tidak diberikan kepada penduduk di situ sebaliknya kini, diusahakan oleh pihak lain dengan tanaman seperti kelapa sawit, buah-buahan, sayur dan ternakan itik.
Bekas pekerja syarikat bijih, Bidor Malay Tin (BMT), Hassan Dauh, 70, berharap Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Yayasan Perak memberi peluang kepada mereka untuk memajukan tanah bekas lombong itu.
Menurutnya, jika dimajukan dengan tanaman pertanian, ia dapat memberikan pendapatan kepada penduduk di situ.
“Kami bekas pekerja Bidor Malay Tin dan penduduk di sini sebulat suara mahukan kawasan ini dimajukan sebagai peluang ekonomi baru kepada kami.
“Memandangkan ramai anak muda sudah pulang ke kampung, mereka memerlukan kehidupan baru dan tanah bekas lombong ini berpotensi untuk memberikan pendapatan kepada mereka.
“Kami mahu tanah bekas lombong ini diagih-agihkan kepada kami yang merupakan bekas pekerja syarikat lombong di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurutnya, mereka kecewa apabila pihak luar yang tiada kaitan dengan syarikat bijih di sini dibenarkan mengusahakan tanah tersebut dengan kelapa sawit, sayur dan buah-buahan.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Bohori Mohd. Ramli,74, berkata, kegiatan melombong bijih mula merosot pada tahun 1980-an yang menyebabkan penduduk tiada lagi pendapatan.
Katanya, selepas kejatuhan industri bijih, bekas lombong terbiar dan lama-kelamaan mula diterokai oleh orang luar yang menanam pokok jambu dan kelapa sawit.
“Apa yang kami pertikaikan ialah kenapa pihak luar dibenarkan menerokai tanah di sini dengan pelbagai tanaman manakala lombong dijadikan ternakan itik.
“Sedangkan kami sebagai bekas pekerja tidak dibenarkan? Malahan penduduk di sini dan anak-anak kami yang ingin memancing ikan pun mereka tidak benarkan.
“Malah kami dihalau, kawasan lombong dibina pagar. Harapan kami agar kawasan bekas lombong ini dimajukan atau diagihkan kepada penduduk untuk kami majukan,” katanya. -UTUSAN ONLINE









