GEORGETOWN: Harapan besar bakal jemaah umrah di negeri ini untuk menjejak kaki ke Tanah Suci Mekah pada bulan depan terbantut setelah kerajaan mengumumkan penangguhan sementara perjalanan menunaikan ibadah itu bermula 8 Januari ini.
Rata-rata mereka yang ditemui Utusan Malaysia di sini semalam melahirkan perasaan kecewa dan sedih dengan keputusan tersebut memandangkan persiapan sudah dibuat hampir 100 peratus.
Bukan setakat itu, penginapan jemaah di bilik hotel juga dikatakan sudah ditempah dan disusun atur minggu lalu.
Bakal jemaah umrah, Fatimah Abdullah, 56, berkata, dia tidak menyangka hasratnya untuk mengerjakan umrah buat kali pertama pada 2 Februari ini selepas tertangguh pada Mac 2020 masih tidak kesampaian.
Menurut ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu, pelbagai persiapan telah dilakukannya termasuk dari segi mental dan fizikal sebelum menjejak kaki ke Tanah Suci namun telah berlaku sebaliknya.
“Sedih sangat apabila mendapat tahu tentang penangguhan umrah bermula 8 Januari ini. Saya sebelum ini hanya membilang hari untuk terbang ke sana dengan agensi umrah di Kuala Lumpur.
“Ini merupakan penangguhan kali kedua untuk saya mengerjakan ibadah umrah susulan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
“Daripada hendak pergi bertiga bersama anak dan ibu mentua, kali ini saya terpaksa pergi berseorangan disebabkan kenaikan kos umrah hampir RM10,000 seorang. Ini adalah niat semasa berhenti kerja dulu dan harapan sebelum saya tutup mata,” katanya sebak kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi bakal jemaah umrah, Norita Ismail, 53, memberitahu, dia berharap keputusan penangguhan tersebut hanya bersifat sementara dan tidak berlarutan sehingga berbulan-bulan lamanya.
“Siapa yang tidak bersedih apabila mendapat tahu penangguhan ini berlaku dalam tempoh yang amat mengejut.
“Saya terima hakikat yang berlaku susulan peningkatan kes Omicron dalam kalangan jemaah namun biarlah keputusan itu bukan berterusan lamanya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










