Ancaman harimau: Kebajikan penduduk jadi keutamaan - Utusan Malaysia

Ancaman harimau: Kebajikan penduduk jadi keutamaan

MAHDZIR Khalid (tengah) merasmikan Pelan Strategik Pendigitalan Kesedar 2021-2025 di Dewan Dato’ Ariffin Said, Gua Musang, Kelantan hari ini. - UTUSAN/ ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kerajaan memberi jaminan kebajikan masyarakat Orang Asli di Pos Bihai di sini yang terpaksa berkurung dalam rumah akibat ancaman harimau belang sejak sebulan lalu, tidak diabaikan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) misalnya, bekerjasama dengan wakil rakyat di situ untuk menyalurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk terjejas.

“Bantuan bekalan makanan itu disalurkan memandangkan penduduk Orang Asli tidak boleh keluar rumah untuk mencari rezeki dan bercucuk tanam, ekoran ancaman harimau belang yang belum berakhir.

“Agensi kerajaan lain seperti polis, pejabat daerah dan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) pula turut menjalankan peranan masing-masing sejak sebulan lalu bagi membantu penduduk di Pos Bihai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang turut dihadiri Pengerusinya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Terdahulu dalam majlis sama, Mahdzir turut merasmikan Pelan Strategik Pendigitalan Kesedar 2021-2025, selain menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas barisan hadapan Kesedar yang berkhidmat sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, mengikut maklumat terkini diterima beliau, pihak Perhilitan Kelantan giat memasang perangkap di pelbagai lokasi untuk menangkap harimau belang yang berkeliaran ketika ini.

“Pemasangan perangkap ini satu langkah alternatif demi mengelak harimau belang ini ditembak mati memandangkan ia haiwan yang dilindungi di negara kita kerana spesiesnya yang hampir pupus,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN