HULU LANGAT: Penduduk di Hulu Langat, Shah Alam dan Sepang di Selangor dan Bentong di Pahang trauma dengan kejadian banjir luar jangka yang melanda kediaman mereka dan buntu untuk memulakan kehidupan selepas kawasan perumahan mereka bagai padang jarak padang tekukur akibat bencana itu.
Lebih menyedihkan, rumah-rumah pusaka yang menjadi tempat mereka berteduh selama ini kini hanya tinggal tapak dan tangga batu manakala chalet serta kedai tempat mereka mencari rezeki lenyap dibawa arus deras dalam banjir terburuk dalam sedekad lalu.
Bukan itu sahaja, tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Batu 18 Sungai Lui, Hulu Langat mendapati kenderaan milik penduduk ada yang terbalik, rosak dan tersadai dihentam pokok-pokok besar dan kayu hanyut.
Laluan masuk ke kawasan perkampungan itu juga tidak ubah seperti kawasan baharu diterokai manusia kerana dipenuhi selut dan tanah yang ditinggalkan air banjir.
Di Shah Alam, walaupun banjir belum surut sepenuhnya, penduduk sudah mula membersihkan rumah masing-masing dengan mengeluarkan perabot yang rosak ditenggelami air dan memeriksa kenderaan yang terendam air sejak Sabtu lalu.
Seorang penduduk yang ditemui Utusan Malaysia, Rohana Amin, 50, mengakui dia terpaku dan kehilangan kata-kata apabila kembali untuk melihat keadaan rumahnya.
Selain menanggung kerugian mencecah puluhan ribu ringgit, Rohana dan suaminya, Ahmad Zamri Daud, 59, kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya dihanyutkan air.
“Kami juga tiada lagi punca pendapatan memandangkan gerai tempat kami berniaga mencari rezeki hilang dibawa arus deras.
“Sehingga kini saya masih tidak dapat berfikir dan trauma, di mana patut kami mulakan dahulu untuk bangkit semula selepas apa yang terjadi.” katanya di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Jamzuri Sarijo, 49, berkata, kejadian banjir itu berlaku terlalu pantas dan dia hanya sempat menyelamatkan dirinya dan keluarga daripada dihanyutkan banjir.
Katanya, kejadian itu juga menyebabkan kandang lembu miliknya musnah ditenggelami air sehingga 10 ekor binatang ternakannya itu mati.
Seorang penduduk di Kampung Taman Langat Murni, Dengkil, Razali Mohd. Zain, 39, buntu memikirkan nasib dirinya selepas semua barangan perniagaannya termasuk enam peti sejuk beku rosak ditenggelami banjir.
Peniaga pasar malam itu berkata, dia reda dengan ujian banjir yang pertama kali melibatkan rumahnya sekali gus perlu menguatkan mental dan fizikal untuk menghadapi hari seterusnya.
Dalam pada itu seorang lagi penduduk, Rohana Mahfodz, 76, rumah pusaka berusia 52 tahun peninggalan arwah ibu bapanya kini hanya tinggal tangga dan satu tiang sahaja.
Katanya, dalam keadaan dirinya yang semakin berusia, dia buntu memikirkan bagaimana mahu membina semula rumahnya itu.
“Saya berharap dapat bina semula rumah ini namun belum berbincang dengan adik beradik lain kerana kami bina rumah ini sikit demi sedikit sejak 1969.
“Dalam keadaan saya sudah tidak mampu berjalan sendiri, diharap ada kesudian mana-mana pihak menghulurkan bantuan membina semula kediaman penduduk yang terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, hujan lebat di sekitar Lembah Klang malam semalam menambah trauma mangsa banjir yang bimbang kejadian itu berulang.
Penduduk di Batu 3, Shah Alam, Mohd. Najib Asri berkata, dia tidak tidur hingga ke pagi apabila melihat paras air di Sungai Damansara naik semula tetapi bersyukur kerana ia tidak melimpahi tebing. – UTUSAN







